Ahad, 11 Ogos 2019 | 5:04pm
PENGARAH Maritim Johor, Laksamana Pertama (M) Aminuddin Abdul Rashid (tiga dari kiri) melihat peta lokasi pencarian ketika misi mencari dan menyelamat dua warga Singapura yang hilang ketika berkayak di perairan Mersing. NSTP/Ihsan MARITIM MALAYSIA
PENGARAH Maritim Johor, Laksamana Pertama (M) Aminuddin Abdul Rashid (tiga dari kiri) melihat peta lokasi pencarian ketika misi mencari dan menyelamat dua warga Singapura yang hilang ketika berkayak di perairan Mersing. NSTP/Ihsan MARITIM MALAYSIA

Kawasan carian dua warga Singapura hilang diperluas

MERSING: Kawasan pencarian dua warga Singapura yang hilang ketika berkayak di Perairan Endau-Rompin, Khamis lalu diperluaskan kepada 500 batu nautika.

Pengarah Agensi Penguatkuasan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Laksamana Pertama (M) Aminuddin Abdul Rashid, berkata kawasan diperluaskan sehingga ke Pulau Tioman dan Pulau Sri Buat, Pahang.

Katanya, pencarian berkenaan menggunakan sebuah pesawat udara Maritim Malaysia selain tiga bot Zon Maritim Mersing.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut dibantu sebuah bot Polis Diraja Malaysia (PDRM), tiga bot nelayan dan bot penumpang dengan kekuatan 50 orang.

“Operasi SAR diketuai Bahagian Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim Johor Bahru (MRSC JB) yang menyusun atur strategi bagi melancarkan pencarian itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi taklimat dan soal jawab antara Konsulat Singapura ke Johor, Rajpal Singh yang mewakili keluarga dua warga Singapura itu di Jeti Awam Penyabong, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, isteri kepada mangsa, Tan Eng Soon, 62, iaitu Kwan Yoke Yee, 58, dan suami kepada mangsa Puah Geok Tin, 57, iaitu Peng Mun Kit, 56.

Semalam BH Online melaporkan, Eng Soon dan Geok Tin memulakan aktiviti kayak dari Jeti Penyabong, Mersing ke perairan antara Pulau Sri Buat-Pulau Mertang bersama 15 rakan lain.

Bagaimanapun, mereka dikatakan terpisah dari kumpulan berikutan laut bergelora dan angin kuat.

Sementara itu, Aminuddin berkata, Maritim Malaysia mengalukan-alukan maklumat aktiviti di laut dengan cepat dan tepat supaya tindakan segera dapat diambil.

Sebarang aduan boleh hubungi MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-2199404 bagi kejadian yang berlaku di perairan Johor.

Berita Harian X