Ahad, 11 Ogos 2019 | 8:52pm

Lelaki cuba samun penunggang Grab Food ditahan

PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki disyaki terbabit dalam kes cubaan samun penunggang penghantar makanan Grab Food, Jumaat lalu.

Suspek berusia 33 tahun ditahan di sebuah pangsapuri di Jalan Kuang Bertam, Taman Kepong, Kuala Lumpur kira-kira jam 4.45 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata pemeriksaan terhadap suspek mendapati dia memiliki tiga rekod jenayah lampau berkaitan curi dan memiliki barang curi.

Katanya, sebuah motosikal jenis Yamaha 125, topi keledar dan sebatang besi pengunci motor yang dipercayai digunakan ketika cuba menyamun turut dirampas.

“Ketika disoal siasat, suspek mengaku terbabit dalam kes cubaan samun berkenaan bersama seorang lagi rakan lelakinya yang dikenali ketika di penjara Kajang pada 2010,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Zani berkata suspek direman selama enam hari bermula semalam sehingga 15 Ogos manakala proses kawad cam yang dijalankan adalah positif.

Kelmarin, BH melaporkan seorang penunggang penghantar makanan Grab Food, bergelut dengan dua lelaki bagi menyelamatkan motosikal Yamaha Y15zr miliknya dari cuba disamun di Phileo Damansara.

Dalam kejadian jam 2.53 petang itu, mangsa yang berusia 22 tahun dalam perjalanan menghantar makanan kepada pelanggan di kawasan Phileo Damansara 2, sebelum dihampiri dua suspek lelaki yang menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha 125z.

Mangsa mengalami kecederaan pada bahagian telinga, kepala, belakang badan dan mulut, namun tidak mengalami sebarang kerugian selepas motosikalnya gagal dilarikan.

Kejadian itu turut viral di media sosial menerusi satu video dipercayai dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

Berita Harian X