Isnin, 12 Ogos 2019 | 11:00am

Nora Anne: Kekuatan anggota SAR ditambah kepada 348 orang

SEREMBAN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) Nora Anne Quoirin, 15, yang dilaporkan hilang di sebuah resort di Pantai di sini, sejak Ahad lalu diteruskan pada pagi ini, dengan penambahan jumlah anggota kepada 348 orang berbanding 296 orang semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar, berkata setakat jam 10.30 pagi, anggota SAR yang terbabit terdiri daripada 133 anggota polis, bomba (46), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM - 47), Pasukan Gerakan Am (PGA - 45) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA - 20).

Selain itu, katanya, seramai 10 anggota dari Jabatan Perhutanan, forensik (lapan), dibantu 39 orang awam.

Operasi SAR yang kini memasuki hari kesembilan hari ini diteruskan walaupun keadaan hujan dan turut menumpu kawasan Gunung Berembun apabila pasukan SAR memulakan pencarian di kawasan itu kira-kira jam 9.30 pagi tadi.

Malah, pihak polis turut mempelawa petugas media untuk menyertai SAR pada pagi ini di kawasan gunung itu.

Nora Anne yang mengalami masalah lembam sebelum ini dilaporkan hilang ketika menginap di sebuah resort di Pantai di sini pada 4 Ogos lalu sebelum pihak berkuasa melancarkan operasi SAR di kawasan berkenaan.

Semalam, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop, berkata pihak polis juga sudah memeriksa lebih 30 rumah selain melakukan pencarian di kawasan sungai dalam usaha mengesan mangsa.

INFO

Polis - 133

Bomba 46

APM - 47

PGA - 45

RELA - 20

Forensik 8

Orang awam - 39

Jabatan perhutanan - 10

828 dibaca
OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) Nora Anne Quoirin di sebuah resort di Pantai, Seremban. - Foto Adzlan Sidek
Berita Harian X