Isnin, 12 Ogos 2019 | 12:07pm
KEADAAN rumah kedai yang musnah dalam kebakaran di Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri, awal pagi tadi. - Foto ihsan bomba
KEADAAN rumah kedai yang musnah dalam kebakaran di Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri, awal pagi tadi. - Foto ihsan bomba

Khianat disyaki punca kebakaran ragut nyawa dua sekeluarga

ISKANDAR PUTERI: perbuatan khianat disyaki punca kebakaran sebuah premis perniagaan di Taman Bukit Indah, di sini yang meragut nyawa seorang wanita warga emas dan anak saudaranya awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.34 pagi itu, Hoe Mun Moy, 60, dan anak saudaranya, Yeow Yai Wen, 20-an, dipercayai meninggal dunia akibat lemas terhidu asap kebakaran.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar, berkata pihaknya sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan berikutan kehadiran kelibat seorang lelaki yang mencurigakan berada di kawasan premis pada masa sebelum kejadian berlaku.

Katanya, kebakaran disyaki berpunca dari luar premis iaitu di bahagian belakang tingkat bawah bergrill berikutan anggota bomba terpaksa memecah masuk kawasan itu untuk memadam kebakaran.

"Hasil siasatan awal mendapati rakaman CCTV di premis memaparkan seorang lelaki membawa botol plastik dipercayai mengandungi minyak untuk melakukan pembakaran.

"Ini berikutan penemuan bau serta cecair minyak di belakang premis tempat disyaki kebakaran mula berlaku namun punca sebenar kejadian masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Katanya, dalam kejadian berkenaan, ada lima mangsa di rumah berkenaan, dengan warga emas berkenaan bersama anak saudaranya dipercayai lemas terhidu asap berikutan keadaan mayat mereka yang sempurna, dengan sedikit kesan melecur.

“Anak lelaki mangsa berusia 44 tahun bersama isterinya yang berusia 40 tahun dan anak mereka berusia enam tahun berjaya diselamatkan sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan lanjut," katanya.

Dzulkhairi berkata, tempat kejadian adalah bangunan premis perniagaan dua tingkat yang menjual barangan cat dan perkakasan rumah, dengan tingkat atas premis dijadikan tempat tinggal dan mempunyai dua bilik tidur, ruang tamu, dapur dan stor cat.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan di lokasi kejadian oleh Pegawai Forensik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Johor serta Pasukan Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)," katanya.

Sementara itu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) III Inggai anak Bakau dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, berkata enam jentera dari balainya, BBP Larkin dan Skudai bersama 28 anggota dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.

"Setibanya anggota dan jentera di lokasi kejadian, api sedang marak membakar sebuah rumah kedai alat perkakasan dan pembinaan dua tingkat di situ, namun kebakaran berjaya dikawal dan dipadamkan kira-kira sejam selepas itu," katanya.

Katanya, punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

2024 dibaca
Berita Harian X