Isnin, 12 Ogos 2019 | 5:13pm

Nenek mati ditetak pernah luah rasa bimbang tinggal seorang

SABAK BERNAM: P Runkanaikey, 78, yang maut ditetak dipercayai oleh sekumpulan lima lelaki di rumahnya di Kampung Tebuk Pulai, Jalan Parit 6 di sini semalam, pernah menyuarakan rasa bimbang kerana tinggal seorang diri di kediaman berkenaan.

Anak bongsu mangsa, K Gokilam, 52, berkata kali terakhir dia berbual dengan ibunya ialah ketika dihubungi mangsa dua hari lalu yang turut mengulangi rasa takut kerana tinggal berseorangan.

“Sebelum ini, emak ada beritahu dia takut tinggal di rumah kerana sering terdengar beberapa kenderaan dan individu berada di hadapan rumah, takut apa-apa berlaku pada dirinya,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.

Berikutan itu, katanya, sejak dua minggu lalu, keluarga meminta anak saudaranya, N Silamparasan, 22, yang turut cedera parah dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu untuk menemani dan menjaga Runkanaikey.

“Emak saya seorang yang tegas tetapi sangat penyayang. Saya sering juga mengajak emak tinggal bersama di Pulau Pinang, tetapi dia tidak mahu atas alasan sayang meninggalkan kampung halaman serta ternakan kambingnya,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi cucu mangsa, N Kumari, 33, berkata dia segera menghubungi polis apabila dihubungi Silamparasan yang memaklumkan rumah nenek mereka dipecah masuk.

Katanya, dia kemudian ke tempat kejadian dan sebaik tiba pada jam 4.42 pagi, terkejut melihat neneknya berlumuran darah dan meminta air untuk minum sebelum melihat adiknya yang cedera berada di rumah jiran sebelah.

“Saya berharap polis dapat menjejaki penjenayah itu dan dikenakan hukuman setimpal. Kenapa mereka sanggup membunuh nenek saya yang sudah tua dan baik orangnya,” katanya.

Jiran mangsa yang enggan dikenali, berkata perasaan takut, cemas dan simpati sukar digambarkan apabila melihat Silamparasan datang ke rumahnya meminta pertolongan dengan tubuh berlumuran darah.

“Kira-kira jam 4.30 pagi, saya terdengar suara lelaki meminta tolong dan apabila membuka pintu rumah, terkejut melihat mangsa berpegang pada jeriji besi pintu sambil memberitahu neneknya ditetak.

“Kami segera membawa masuk mangsa ke dalam rumah serta menutup semula pintu kerana bimbang penjenayah mengejarnya,” katanya.

KEADAAN pintu masuk rumah milik wanita warga emas, P Runkanaikey yang dirosakkan lima lelaki sebelum dibunuh di rumahnya di Kampung Tebuk Pulai. NSTP/Amirul Aiman Hamsuddin
Berita Harian X