Selasa, 13 Ogos 2019 | 1:52pm

Warga emas antara yang ditahan buat senjata api

KOTA KINABALU: Warga emas antara lapan yang ditahan dalam beberapa siri serbuan polis di Ranau membabitkan rampasan pelbagai jenis senjata api buatan sendiri.

Rampasan dan tangkapan dibuat oleh sepasukan pegawai dan anggota polis cawangan D9 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau pada 6 dan 7 Ogos lalu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass, berkata tangkapan dan rampasan itu ekoran satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Kinaratuan pada jam 2.30 pagi, 6 Ogos lalu.

Katanya, dalam serbuan itu, polis menahan tiga lelaki berusia antara 20-an hingga 60-an bersama pelbagai jenis senjata api termasuk bakakuk, senapang angin dan pistol serta pelbagai jenis peluru selain beberapa peralatan membersihkan senapang yang disimpan di rumah, stor dan sebuah pondok berhampiran rumah berkenaan.

“Serbuan pertama dilakukan di rumah berkenaan dan dua lelaki ditahan berusia 61 dan 41 tahun bersama beberapa senjata api buatan sendiri.

“Hasil maklumat daripada tangkapan itu, polis membuat pemeriksaan di sebuah stor yang terletak di belakang rumah dan merampas pelbagai jenis bakakuk dan peralatan tangan dipercayai digunakan untuk membuat senjata api berkenaan.

“Maklumat lanjut membawa kepada penemuan satu lagi pondok yang terletak kira-kira 105 meter dari rumah berkenaan dan menahan seorang lelaki tempatan berusia 20-an serta merampas beberapa senjata jenis bakakuk, senapang angin, peluru dan beberapa telefon bimbit,” katanya pada sidang media, di IPK Sabah, di sini, hari ini.

Zaini berkata, susulan tangkapan di Kampung Kinaratuan itu, polis membuat serbuan di beberapa rumah di Kampung Tanah Merah, Kampung Kapatahan Bundu Tuhan, Kampung Debut dan Kampung Lohan Ulu yang membawa kepada penahanan empat lagi lelaki berusia lingkungan 46 hingga 83 tahun.

“Dalam tangkapan ini, polis turut merampas pelbagai jenis senjata api termasuk senapang angin, revolver, remington serta pelbagai jenis peluru.

“Susulan tangkapan itu, satu lagi tangkapan dibuat membabitkan seorang anggota tentera berusia 30-an di Kem Tentera Lok Kawi untuk membantu siasatan dan dipercayai mereka adalah pembeli senapang yang dibuat suspek dalam tangkapan pertama,” katanya.

Katanya, secara keseluruhan rampasan adalah sebanyak 22 laras pelbagai jenis senjata buatan sendiri termasuk remington, bakakuk, senjata guli buatan sendiri, revolver dan glock serta 1,600 peluru termasuk 612 butir peluru jenis 5.56 mm.

Zaini berkata, hasil siasatan membawa kepada pengakuan daripada suspek pertama bahawa dia sudah 25 tahun menjalankan aktiviti pembuatan senjata api.

“Suspek mengaku menjalankan aktiviti itu sudah lama dengan cara meniru bakakuk dan pistol mainan. Setakat ini suspek sudah menjual sebanyak 150 laras senjata api pelbagai jenis.

“Suspek mengambil tempahan daripada pembeli mengikut permintaan dan harga bermula RM800 sehingga RM2,800 mengikut kualiti dan jenis senjata yang diminta,” katanya.

Zaini berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971 kerana berdagang senjata api dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan juga sebat tidak kurang daripada enam kali.

“Kejayaan ini membuktikan polis memandang serius aktiviti pembuatan dan penggunaan senjata api buatan sendiri di negeri ini dan polis sangat berharap masyarakat setempat dapat memberikan maklumat berhubung kegiatan ini untuk diambil tindakan.

“Pemilik senjata api tidak berlesen terutamanya senjata buatan sendiri juga diminta menyerah diri kerana menyimpan senjata api buatan sendiri adalah salah di sisi undang-undang,” katanya.

Berita Harian X