Selasa, 13 Ogos 2019 | 11:49pm
TULAR rakaman video berkenaan yang dimuat naik menerusi laman Facebook ‘Camera Head Photography’. Rakaman video berdurasi 30 saat itu dirakam sendiri oleh penunggang motosikal terbabit. Foto Video Tular FB

Polis siasat rakaman video penunggang motosikal mencelah bawah treler

KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan seorang penunggang motosikal yang mencelah masuk di bawah sebuah treler yang sedang bergerak, dengan rakaman video aksi berbahaya itu turut tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Azman Shari’at, berkata kejadian itu dikesan berlaku di Kilometer 307 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke selatan sekitar empat atau lima bulan lalu.

“Kita terima satu laporan polis pada jam 5.21 petang tadi berhubung satu rakaman video seorang penunggang motosikal menunggang secara melulu dan berbahaya, yang baru tular di Facebook beberapa hari lalu.

“Hasil siasatan awal mendapati penunggang motosikal terbabit menunggang motosikal secara melulu dengan mencelah masuk ke bahagian bawah treler,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya sudahpun mengambil keterangan pemandu treler berkenaan untuk membantu siasatan.

“Kita sedang mengenalpasti identiti identiti penunggang, jenis dan nombor pendaftaran motosikal digunakan.

Siasatan kes ini dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Ahad lalu, tular rakaman video berkenaan yang dimuat naik menerusi laman Facebook ‘Camera Head Photography’.

Rakaman video berdurasi 30 saat itu dirakam sendiri oleh penunggang motosikal terbabit.

Menerusi rakaman itu, pemandu treler yang membawa muatan kelihatan seperti galang konkrit itu menyedari perbuatan penunggang motosikal terbabit lantas membunyikan hon.

10436 dibaca
Berita Harian X