Rabu, 14 Ogos 2019 | 10:25am
KEADAAN kereta jenis Perodua Myvi yang terbabit dalam kemalangan di Rattaphum, Songkhla, petang semalam. - Foto ihsan media sosial

Lima pemotong rumput maut, seorang parah dirempuh pemandu Malaysia

SONGKHLA: Lima pemotong rumput maut dan seorang lagi parah selepas dirempuh sebuah kenderaan dipandu rakyat Malaysia di Rattaphum, di sini petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang (waktu tempatan) itu, enam pemotong rumput berusia antara 34 hingga 56 tahun yang sedang berehat di tepi Jalan Hatyai - Satun dirempuh sebuah kereta jenis Perodua Myvi dipandu wanita berusia 30 tahun.

Pemandu wanita bersama dua rakannya yang dalam perjalanan dari Krabi menuju ke Hatyai turut cedera ringan susulan insiden berkenaan.

Ketua Polis Siasatan Jenayah Rattaphum, Kol Pol Theva Daoruang, berkata empat mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia di Hospital Rattaphum.

Beliau berkata mangsa yang cedera parah kini menerima rawatan di hospital.

“Siasatan awal polis mendapati pemandu yang dalam perjalanan menuju ke Hatyai dipercayai hilang kawalan dan terbabas sebelum merempuh mangsa yang duduk di tepi jalan,” katanya. - BERNAMA


LIMA pemotong rumput maut dan seorang lagi parah selepas dirempuh sebuah kenderaan dipandu rakyat Malaysia di Rattaphum, Songkhla, petang semalam. - Foto ihsan media sosial

Berita Harian X