Rabu, 14 Ogos 2019 | 11:12am
PEGUAM Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto Zunnur Al Shafiq

Perbicaraan SRC tangguh, Najib sakit mata

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd yang kini mendengar keterangan saksi pendakwaan terakhir, ditangguhkan selama tiga hari berikutan Datuk Seri Najib Razak mengalami jangkitan mata.

Dalam prosiding yang memasuki hari ke-53 hari ini, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib, memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali, anak guamnya mendapat cuti sakit selama tiga hari.

Terdahulu, sebaik prosiding perbicaraan kes yang bermula kira-kira jam 9.42 pagi, Timbalan Pendakwa Raya, V Sithambaram, memaklumkan kepada mahkamah pihak pembelaan ingin membuat permohonan.

Shafee, kemudian memberitahu mahkamah beliau menerima panggilan telefon daripada Najib, pada jam 7.45 pagi memaklumkan mengalami jangkitan kuman di kedua-dua belah matanya.

“Jangkitan itu disyaki bermula semalam dan berdasarkan gambar yang diambil ia kelihatan agak teruk.

“Perkara itu juga sudah disahkan oleh pakar mata di Pusat Mata Mid Valley yang memberikan Najib sijil sakit selama tiga hari, bermula hari ini,” katanya.

Shafee turut memberitahu mahkamah, beliau sudah menunjukkan bukti sijil sakit dan gambar jangkitan mata Najib kepada pihak pendakwaan.

Perkara itu kemudian disahkan Sithambaram, yang turut menyokong permohonan penangguhan kerana dikhuatiri akan menyebabkan jangkitan itu menular kepada semua yang berada di mahkamah.

Bagaimanapun Sithambaram, berkata kes itu dijadualkan berakhir Jumaat ini, manakala kes 1MDB yang dihadapi Najib akan bermula Isnin ini.

Sehubungan itu, pihak pendakwaan akan menulis kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah untuk membuat temu janji dan menetapkan pengurusan kes pada Jumaat ini.

Bagaimanapun, Hakim Nazlan memaklumkan Collin kini berada di luar negara dan akan kembali bersidang Isnin depan.

Sehubungan itu, Sithambaram kemudian memaklumkan permohonan untuk menyambung perbicaraan kes SRC akan dimaklumkan kepada Collin Isnin depan dan pihak pendakwaan akan menyambung pemeriksaan utama terhadap saksi ke-57,

Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKPj) Bahagian Operasi Khas (BOK) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rosli Hussain.

Nazlan dalam keputusannya, berkata mahkamah tidak mempunyai pilihan selain menangguhkan perbicaraan kes itu dan menetapkan Isnin depan untuk menyambung perbicaraan kes.

1282 dibaca
Berita Harian X