Rabu, 14 Ogos 2019 | 12:58pm
EMPAT individu, termasuk dua wanita yang sesat ketika mendaki Twin Peak di Bukit Fraser, sejak petang semalam dijumpai pagi tadi. - Foto ihsan bomba

4 pendaki sesat dalam hutan Bukit Fraser diselamatkan

KUANTAN: Empat individu, termasuk dua wanita yang sesat ketika mendaki Twin Peak di Bukit Fraser, sejak petang semalam dijumpai pagi tadi.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan, berkata mangsa berusia 18 hingga 22 tahun itu ditemui jam 8.45 pagi tadi.

“Ketika ditemui dua mangsa wanita mengalami kecederaan terseliuh di buku lali, manakala dua lelaki tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihak polis menerima panggilan petang semalam memaklumkan terdapat empat individu tidak keluar dari trek pendakian selepas masuk pada jam 1 tengah hari, Isnin lalu.

“Sebelum itu, tujuh rakan mereka keluar dari trek pendakian pada jam 5.30 petang semalam, namun, mendapati empat rakan mereka gagal keluar,” katanya.

Anuar berkata, seramai tiga anggota bomba dan dua anggota polis digerakkan ke lokasi mangsa dipercayai sesat kira-kira jam 2.30 pagi tadi.

“Kita berjaya menemui mereka dan memberikan rawatan serta makanan sebelum memulakan perjalanan turun dari lokasi mereka ditemui itu” katanya.

720 dibaca
Berita Harian X