Rabu, 14 Ogos 2019 | 1:16pm
CHONG U Gene dituduh di Mahkamah Majistret Ipoh atas dakwaan menipu seorang tokoh korporat membabitkan wang berjumlah RM440,000. - Foto Muhaizan Yahya

Tokoh korporat rugi RM440,000 ditipu jurujual

IPOH: Seorang jurujual kereta yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan menipu seorang tokoh korporat membabitkan kerugian hampir setengah juta, awal tahun lalu.

Chong U Gene, 46, dituduh memperdaya Pengerusi Eksekutif Kumpulan Team Keris Berhad, Datuk Lee Seng Hee, 64, untuk menyerahkan wang berjumlah RM440,000 sebagai bayaran deposit bagi pembelian kereta jenis Range Rover 5.0 V8 Autobiography yang disyaki sebenarnya tidak wujud.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Public Bank Cawangan Jalan Yang Kalsom, kira-kira jam 12 tengah hari pada 29 Mac tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda.

Majistret Nabihah Mohd Noor membenarkan jaminan RM5,000 terhadap tertuduh dan menetapkan 28 Ogos ini untuk kes itu disebut semula.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Afiqah Izzati Mazlan, manakala tertuduh diwakili peguam Sukhwinder Singh Sidhu dan Shassidaren Deva Sana Pathy.

Pada 5 Julai lalu, tertuduh didakwa di mahkamah sama atas dua pertuduhan pecah amanah dan menipu sebuah syarikat pemaju perumahan berjumlah RM49,000 awal tahun lalu.

Dia didakwa memperdaya syarikat Team Keris Berhad untuk memasukkan wang berjumlah RM9,000 ke dalam akaunnya untuk mendapatkan kelulusan permit pemasangan cermin gelap daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada jam 4.44 petang di RHB Bank, Persiaran Greenhill Ipoh, 27 Februari 2018.

U Gene juga didakwa melakukan pecah amanah dengan mengambil wang hasil jualan kereta jenis Mercedes Benz milik syarikat Keris Properties Sdn Bhd berjumlah RM40,000 di TKB Tower, Times Square, Jalan Sultan Nazrin Shah di sini pada 14 Mac 2018.

Tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu.

Berita Harian X