Rabu, 14 Ogos 2019 | 2:17pm

Suami buat klip video cari isteri hilang di India

BEHRANG: Seorang tukang paip yang buntu selepas isteri yang hilang di India belum ditemui, mengambil inisiatif menghasilkan klip video dan memuat naik dalam media sosial memohon bantuan orang ramai mencari wanita berkenaan.

Klip video berdurasi seminit itu dihasilkan bersama dua anaknya khusus bagi memohon bantuan pelbagai pihak mengesan Habibuneesa Mohamed Ismail, 36, yang dilaporkan hilang di India pada 29 Jun lalu.

Mahmud Rahman Shariff,47, berkata Habibuneesa bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama kakaknya, Nur Jihan, 38, dan anak kakaknya, Yunus Shukri,4, ke Tamil Nadu pada 24 Jun lalu untuk melawat saudara-maranya di Pandaravadai, Papanasam, Tamil Nadu.

Beliau berkata, lima hari kemudian, Nur Jihan memaklumkan isterinya hilang dari rumah selepas pulang melawat rumah saudara-mara mereka di sana.

Susulan itu, Mahmud Rahman bersama anaknya, Mohd Aiman Syukur, 9, dan Mahnas Hibatullah Syazana, 4, membuat rakaman video itu kerana Habibuneesa masih belum ditemui walaupun pelbagai usaha dilakukan termasuk membuat laporan polis, menghubungi pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di India serta pihak berkuasa di negara itu.

“Saya bimbang perkara buruk berlaku kepada isteri dan berharap orang ramai dapat membantu mengesannya supaya dapat kembali ke sini.

“Sambutan Aidiladha tahun ini juga suram dan sedih kerana selama ini isteri menyiapkan pakaian serta makanan kami sekeluarga,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Difahamkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sudah menghubungi polis India menerusi polis antarabangsa (INTERPOL) untuk menyegerakan tindakan mencari dan menyelamat Habibuneesa.

Mahmud Rahman berkata, baru-baru ini dia dihubungi pegawai pejabat Konsulat Malaysia di Chennai, India, memaklumkan polis sudah mengenal pasti suspek dipercayai ada kaitan dengan kehilangan isterinya.

Katanya, suspek dikenal pasti melalui rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) di lapangan terbang, premis perniagaan dan kawasan pekan yang mendapati suspek sentiasa mengekori pergerakan Habibuneesa sejak tiba di India pada 24 Jun lalu.

MAHMUD Rahman Shariff,47 (tengah) bersama dua anaknya, Mohd Aiman Syukur dan Mahnas Hibatullah Syazana. - Foto Rosman Shamsudin
Berita Harian X