Rabu, 14 Ogos 2019 | 3:57pm
KERETA yang disewa suspek untuk melakukan kegiatan samun di sekitar Seberang Perai Tengah. - Foto ihsan PDRM

Guna kereta sewa samun warga asing

BUKIT MERTAJAM: Menyewa kereta kemudian pergi menyamun warga asing, itulah modus operandi tiga lelaki berusia 20 hingga 23 tahun yang kegiatan mereka akhirnya berjaya dihidu pihak polis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Superintendan Mustafa Bidin, berkata polis menerima laporan daripada seorang mangsa warga asing yang mendakwa dirinya disamun ketika berjalan kaki pada hari kejadian Isnin lalu.

“Mangsa memaklumkan didatangi individu tidak dikenali menaiki sebuah kereta, yang kemudian melarikan beg tangan miliknya.

“Susulan laporan yang dibuat, polis mengadakan Op Cantas bermula jam 12 tengah hari hingga 1.30 petang semalam di tiga kawasan berasingan dekat Simpang Ampat dan Nibong Tebal sebelum menahan tiga suspek untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam serbuan itu, polis merampas pelbagai barangan dipercayai hasil samun, antaranya telefon bimbit, barang kemas, beberapa keping resit dan surat perjanjian kereta sewa.

Mustafa berkata, hasil soal siasat terhadap ketiga-tiga suspek mendapati mereka mengaku melakukan perbuatan berkenaan dengan memaklumkan mudah untuk menyamun warga asing.

“Ketiga-tiga suspek warga tempatan itu turut memiliki rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

“Siasatan juga mendapati mereka dipercayai terbabit dalam tiga kes samun di sekitar Bukit Tengah serta Batu Kawan dan ketiga-tiga suspek kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya.

726 dibaca
Berita Harian X