Rabu, 14 Ogos 2019 | 8:58pm

Laporan bedah siasat Nora Anne dijangka siap esok

SEREMBAN: Polis dijangka mengumumkan hasil laporan bedah siasat mayat Nora Anne Quoirin, 15, esok, berikutan proses itu masih belum selesai sehingga kini.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Che Zakaria Othman, berkata proses bedah siasat itu dilakukan bermula jam 11.45 pagi tadi.

Katanya, ia dikendalikan Pakar Patologi Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Siew Sheue Feng dan Pakar Forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Dr Hanif Mohammad.

Beliau berkata, mereka dibantu pakar dari Jabatan Kimia, Dr Aidora Saedon dan dari Jabatan Forensik, Sufian Arshad Ahmad.

“Proses bedah siasat belum selesai. Setakat ini kita masih belum terima keputusan sebab kematian (Nora Anne).

“Saya tidak dapat pastikan sehingga jam berapa proses bedah siasat ini akan selesai,” katanya pada sidang media di pekarangan Jabatan Forensik HTJ, di sini, hari ini.

Sementara itu apabila ditanya sama ada operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan di lokasi mayat ditemui, beliau berkata, setakat ini operasi masih berjalan.

Che Zakaria yang enggan menerima sebarang soalan daripada pihak media kemudian berlalu meninggalkan sidang media.

Mayat Nora Anne ditemui pada jam 1.57 tengah hari semalam di kawasan berlurah dekat anak sungai kira-kira 2.5 kilometer dari resort dia dilaporkan hilang pada 4 Ogos lalu.

Che Zakaria ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik HTJ Seremban, Negeri Sembilan susulan proses bedah siasat mayat Nora Anne Quoirin. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman
Proses bedah siasat mayat Nora Anne Quoirin di Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban, Negeri Sembilan. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman
Kumpulan pegawai polis dari Ireland (tengah) dan Perancis turut kelihatan di Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar Seremban, Negeri Sembilan. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman
Berita Harian X