Khamis, 15 Ogos 2019 | 9:44am
KEBAKARAN belukar yang berlaku di Kampung Sedi, Pulau Bruit, awal pagi tadi. - Foto ihsan bomba

Khianat cetus kebakaran belukar di Pulau Bruit

DARO: Kebakaran belukar yang berlarutan di Kampung Sedi, Pulau Bruit, di sini sejak sembilan hari lalu diburukkan lagi dengan perbuatan khianat yang dikesan, awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii, berkata perbuatan itu dikesan sepasukan anggota bomba yang membuat rondaan di kawasan terjejas pada jam 1 pagi.

Beliau berkata, difahamkan individu membakar belukar berhampiran dua kediaman penduduk dipercayai dengan niat mencetuskan kebakaran rumah terbabit.

“Selepas menyedari perbuatan individu yang tidak dikenali itu, anggota bomba bersama beberapa penduduk kampung mengejar individu itu namun dia berjaya melepaskan diri dalam gelap.


KEBAKARAN belukar yang berlaku di Kampung Sedi, Pulau Bruit, awal pagi tadi. - Foto ihsan bomba

“Ekoran perbuatan khianat itu, kebakaran merebak dengan cepat dan api semakin marak serta sukar dikawal,” katanya ketika dihubungi pagi ini.

Ling Hii berkata, api yang marak dalam keadaan gelap mendedahkan anggota serta aset kepada risiko keselamatan.

“Anggota kami berusaha mencari akses lain untuk menyelamatkan dua rumah itu dari terbakar.

“Usaha masih dijalankan oleh pihak bomba untuk menyekat dan mengawal kebakaran hutan dari merebak ke kawasan kilang sawit,” katanya.

Katanya, laporan polis berhubung perbuatan khianat itu dibuat hari ini.

1562 dibaca
Berita Harian X