Khamis, 15 Ogos 2019 | 11:34am
KETUA Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Tindakan akan diambil terhadap penyebar fitnah Nora Anne dirogol

SEREMBAN: Polis akan mengambil tindakan terhadap seorang pengguna Twitter kerana memuat naik ciapan mendakwa remaja Ireland, Nora Anne Quoirin dirogol Orang Asli.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop, berkata dakwaan pengguna yang menggunakan akaun bernama Zikri Armstrong itu adalah satu fitnah.

“Itu adalah fitnah. Setakat ini polis belum menerima sebarang laporan (mengenai ciapan), namun kita akan jalankan siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Terdahulu, tular di laman sosial satu ciapan daripada Zikri Armstrong mendakwa remaja warga Ireland yang dilaporkan hilang sebelum ditemui mati selepas 10 hari itu dirogol oleh Orang Asli.

“Perogol Nora Anne adalah orang asli. ‘Police will never find the killer cuz most orang asli still dont have IC or any sort of citizen data. Bet me’,” katanya dalam laman Twitter miliknya.

Kawasan resort tempat penginapan Nora Anne dan keluarganya di Pantai, dekat sini, adalah berhampiran beberapa perkampungan Orang Asli.

Kelmarin mayat remaja berusia 15 tahun itu ditemui di kawasan berlurah dekat anak sungai kira-kira 2.5 kilometer dari resort dia dilaporkan hilang 4 Ogos lalu.

Mayat berkenaan ditemui sekumpulan pendaki sukarelawan yang turut menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Berita Harian X