Khamis, 15 Ogos 2019 | 11:44am

Dua Lans Koperal ditahan positif dadah

KUCHING: Dua Lans Koperal di Sarawak ditahan selepas positif dadah menerusi Operasi Blue Devil yang dijalankan sejak 13 Ogos lalu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Dev Kumar, berkata penahanan itu dibuat berdasarkan ujian saringan awal air kencing dua anggota itu yang disyaki positif syabu.

“Anggota terbabit ditahan semalam di Kota Samarahan dan Kuching.

“Mereka adalah antara 80 pegawai dan anggota polis di Sarawak yang menjadi sasaran kerana penyalahgunaan dadah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis serah terima tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak di Kelab Polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini, hari ini.

Ketua JSJN Sarawak yang baharu, Superintendan Hasnir Abdul Hamid menggantikan Asisten Komisioner Sahar Abdul Latif.

Hasnir sebelum ini memegang jawatan Deputi Superintendan Pelucuthakan Harta JSJN Bukit Aman manakala, Sahar akan berpindah menjadi Penolong Pengarah Narkotik (Risikan/Antarabangsa) JSJN Bukit Aman.

Dalam pada itu, Dev berkata Operasi Blue Devil adalah untuk mengesan dan membanteras penyalahgunaan dadah dalam kalangan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kedua-dua anggota kini ditahan untuk permohonan reman bagi membantu siasatan,” katanya.

Berita Harian X