Khamis, 15 Ogos 2019 | 2:46pm
ASISTEN Komisioner Sahar Abdul Latif (kiri) menyerahkan tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik ( JSJN) Sarawak kepada Superintendan Hasnir Abdul Hamid (kanan) sambil di saksikan oleh Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Dev Kumar pada serah terima tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak di Kelab Polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak. - Foto L. Manimaran

Sistem 'mapping' berkesan perangi dadah

KUCHING: Sistem ‘mapping’ digunakan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dalam menangani penyalahgunaan dadah di negara ini menunjukkan kesan positif.

Penolong Pengarah Narkotik (Risikan/Antarabangsa) JSJN Bukit Aman, Asisten Komisoner Sahar Abdul Latif, berkata sistem terbabit mempunyai profil dan maklumat individu yang disyaki mengedar dan menagih dadah.

“Sistem ini adalah senjata sulit yang berkesan dalam menangani penyalahgunaan dadah di negara ini. Polis boleh mengesan sebelum menyerbu lokasi penagihan dan pengedaran dadah.

“Pengedar dan penagih yang diprofil dalam sistem ini tidak boleh melarikan diri,” katanya selepas majlis serah terima tugas Ketua JSJN Sarawak di Kelab Polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini, hari ini.

Pada majlis disaksikan oleh Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Dev Kumar itu, Sahar menyerahkan tugas Ketua JSJN Sarawak kepada Superintendan Hasnir Abdul Hamid.

Beliau berkata, dalam Operasi Bersepadu Mega yang dijalankan serentak di seluruh Sarawak pada 20 Julai lalu, pihaknya berjaya menahan seramai 406 pengedar dan penagih dadah.

“Tanpa sistem ‘mapping’, JSJN Sarawak tidak mampu membuat tangkapan yang berkualiti dan ini menunjukkan tidak ada alasan anggota tidak cukup ketika operasi.

“Saya yakin, hasil kemas kini sistem itu pada masa akan datang boleh membantu JSJN Sarawak menembusi kawasan pedalaman dalam usaha memerangi dadah,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, dalam Operasi ‘Ice Breaker’ yang dijalankan serentak di seluruh negara bermula 29 Julai hingga 5 Ogos lalu, JSJN Sarawak berjaya menahan 561 individu.

389 dibaca
Berita Harian X