Khamis, 15 Ogos 2019 | 6:20pm
BEBERAPA anggota polis termasuk dari unit Forensik Ibu Pejabat Kontinjen Terengganu melakukan pemeriksaan di halaman kediaman Ketua Polis Daerah Besut Supt Mohd Zamri Mohd Rowi ekoran kejadian tetak tengah hari tadi. - Foto BERNAMA

OCPD Besut cedera di kepala, putus ibu jari kanan akibat ditetak

KOTA BHARU: Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi, cedera di kepala dan putus ibu jari kanan akibat ditetak seorang lelaki menggunakan parang di hadapan rumahnya di Taman Cardova Residence Padang Luas, Besut, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.50 tengah hari itu, mangsa yang baru saja pulang ke rumah, tiba-tiba didatangi suspek berusia 32 tahun yang mengalami masalah mental menaiki kenderaan Perodua Kembara untuk membuat aduan berkaitan tanah.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail, berkata Mohd Zamri, 55, yang tidak mahu melayan kerenahnya menyuruh suspek yang juga jiran mangsa untuk pulang, namun lelaki itu berang dan bertindak mengambil parang dalam kenderaannya.

Beliau berkata berikutan tindakan suspek itu, mangsa cuba melarikan diri, namun tidak sempat sebelum ditetak di bahagian kepala sehingga terjatuh.

“Berikutan itu, berlaku pergelutan sebelum mangsa yang menahan dengan tangan daripada libasan parang suspek terkena ibu jari kanan sehingga putus. Suspek kemudian terus melarikan diri.

“Isteri mangsa yang melihat kejadian itu terus membantu mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Besut sebelum dirujuk di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk menjalani pembedahan menyambung jari berkenaan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di HUSM di sini, hari ini.

Aidi berkata, suspek yang tinggal kira-kira 50 meter daripada rumah mangsa berjaya ditahan polis di Felda Selasih, Jertih pada jam 4.15 petang tadi.

Katanya, suspek sebelum ini pernah menemui Mohd Zamri di pejabat Ketua Polis Daerah Besut bagi memaklumkan rumahnya diserbu pihak polis, namun maklumat itu tidak benar.

“Suspek yang pernah dihalau pulang oleh mangsa mungkin tidak berpuas hati dengan layanan diberi sehingga menyebabkan dia bertindak mencederakan Ketua Polis Daerah berkenaan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan ,” katanya.

Berita Harian X