Jumaat, 16 Ogos 2019 | 12:23pm

Penganggur dihukum gantung sampai mati

MELAKA: Mahkamah Tinggi hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap penganggur atas dakwaan membunuh tiga ahli keluarga angkatnya tiga tahun lalu.

Keputusan itu dibuat Hakim, Datuk Ahmad Nasfy Yasin terhadap tertuduh, Luqman Hadi Mustapa, 31.

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, tertuduh didakwa membunuh Hassan A Wahab, 70, Mariah Baharin, 61, dan Muhammad Taufeq Hassan, 22.

Bagi pertuduhan keempat dan kelima mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, tertuduh didakwa menetak tubuh badan Noor Haslinda Diyana Hassan, 26, dan Nur Aqedah Aeina Hassan, 24, menggunakan parang panjang dan perbuatan itu boleh menyebabkan kematian yang boleh menjadi kesalahan membunuh.

Bagi kesalahan itu, tertuduh dikenakan hukuman 10 tahun penjara bagi setiap kesalahan.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Jalan Sidang Said, Bertam Malim, Melaka, antara 5.50 pagi hingga 6.15 pagi pada 25 Ogos 2016.

Ahmad Nasfy dalam penghakimannya pada akhir kes pendakwaan berkata, semua perbuatan tertuduh tidak konsisten dengan perbuatan orang tidak siuman.

“Atas sebab itu, mahkamah menolak pembelaan ‘insanity’ tertuduh, pihak pembelaan sekaligus gagal menimbulkan keraguan munasabah.

“Tertuduh bersalah dan disabitkan bagi pertuduhan di bawah Seksyen 302 bagi pertuduhan pertama, kedua dan ketiga, tertuduh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.

“Bagi pertuduhan keempat dan kelima dikenakan hukuman 10 tahun penjara bagi setiap kesalahan,” katanya.

Susulan mendengar hukuman itu, beberapa ahli keluarga tertuduh dilihat menangis sambil berpelukan dengan tertuduh yang hanya kelihatan sebak sambil berdiam diri

Seramai 25 saksi pendakwaan dipanggil sepanjang perbicaraan bermula 22 Oktober 2016.

Pada 26 Ogos 2016, media melaporkan, suami isteri dan anak lelaki mereka mati dibunuh akibat dikelar dengan senjata tajam oleh seorang lelaki dipercayai anak angkat mangsa yang tinggal bersama.

20000 dibaca
LUQMAN Hadi Mustapa diiringi anggota polis keluar dari Mahkamah Tinggi selepas menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap penganggur atas kesalahan membunuh tiga ahli keluarga angkatnya tiga tahun lalu. - Foto Rasul Azli Samad
Berita Harian X