Jumaat, 16 Ogos 2019 | 2:22pm
Azini di ICU HUSM, Kubang Kerian. - Foto Siti Norhidayatidayu Razali

Ibu jari tangan kanan Ketua Polis Daerah Besut disambung semula

KOTA BHARU: Ibu jari tangan kanan Ketua Polis Daerah Besut yang putus ditetak di hadapan rumahnya kelmarin, berjaya disambung semula menerusi pembedahan selama 14 jam.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor, berkata keadaan Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi kini stabil selepas keluar dari dewan pembedahan jam 7 pagi tadi.

“Saya dimaklumkan oleh doktor pakar keadaan Mohd Zamri stabil selepas jarinya berjaya disambung semula menerusi pembedahan sejak jam 5 petang semalam.

“Bagaimanapun, sehingga kini beliau perlu pemerhatian rapi oleh pihak hospital memandangkan pembedahan baru dilakukan,” katanya pada sidang media selepas melawat Mohd Zamri di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah; Pengarah HUSM, Prof Datuk Dr Ahmad Sukari Halim dan isteri Mohd Zamri, Azini Mamat.

Mazlan berkata, kes menimpa Mohd Zamri tidak mempunyai unsur jenayah dan unsur keselamatan membabitkan penjawat awam, sebaliknya ia hanya disebabkan kes pesakit mental saja.

“Suspek sudah direman selama seminggu,” katanya.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari semalam, Mohd Zamri cedera ditetak di jari tangan kanan dengan senjata tajam dalam kejadian di hadapan rumahnya di Kampung Padang Luas, di Jertih.

Sementara itu, Dr Ahmad Sukari berkata, menerusi pembedahan selama 14 jam bermula jam 5 petang semalam hingga jam 7 pagi tadi, pihaknya berjaya menyambung semula jari yang putus itu.

“Setakat ini keadaan masih kritikal dari segi penyambungan ibu jari dan pembedahan agak rumit memandangkan jari berkenaan putus terus.

“Namun, setakat ini situasi agak baik dan sekiranya berterusan, pembedahan itu berjaya,” katanya.

Berita Harian X