Jumaat, 16 Ogos 2019 | 2:22pm

MAQIS Pulau Pinang rampas snek makanan haiwan dari Korea

BUTTERWORTH: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang menggagalkan cubaan menyeludup makanan haiwan dari Korea Selatan ke negeri ini, selepas merampas bungkusan berisi pelbagai produk snek di Pejabat Pos Butterworth, di sini, semalam.

Pengarahnya, Zarina Ramli, berkata pihaknya menerima laporan terdapat satu bungkusan mengandungi makanan haiwan dihantar seorang individu ke pejabat pos berkenaan.

Berikutan itu, pemeriksaan dijalankan pada jam 2.30 petang dan menemui 440 paket pelbagai snek makanan haiwan bernilai RM1,680.

“Semua barangan itu dirampas kerana tidak mempunyai beberapa dokumen sah seperti permit import (IP).

“Makanan haiwan yang dirampas antaranya snek seperti sweet potato chewing, deer jerky, horse jerky, duck wing,dried pollack, pig ear slice, white fish gental gum dan lain-lain,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Zarina berkata, pihaknya mengeluarkan kompaun kepada individu yang membawa masuk produk terbabit selepas mendapat

kebenaran Timbalan Pendakwa Raya.

“Kita turut memberi peringatan kepadanya supaya mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan pihak berkuasa di negara ini,” katanya.

Katanya, MAQIS negeri sentiasa menjalankan pemeriksaan terperinci di semua pintu masuk negara bagi memastikan komoditi haiwan, pertanian dan ikan yang masuk atau keluar dari negara ini mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan.

385 dibaca
Pegawai MAQIS Pulau Pinang menunjukkan antara 440 paket makanan haiwan tanpa dokumen yang sah dari Korea dianggarkan bernilai RM1,680 dirampas dalam cubaan menyeludup masuk selepas menjalankan pemeriksaan barang pos di Pejabat Pos Butterworth. - Ihsan MAQIS
Berita Harian X