Jumaat, 16 Ogos 2019 | 3:13pm
Nora Anne Quoirin.

Polis tahan lelaki sebar fitnah Nora Anne dirogol

SEREMBAN: Polis menahan seorang lelaki berusia 29 tahun yang dipercayai mempunyai kaitan dengan ciapan di laman sosial Twitter mendakwa remaja Ireland, Nora Anne Quoirin dirogol Orang Asli.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop, berkata lelaki itu ditahan kira-kira jam 7 malam tadi, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban ketika hadir bagi memberi keterangan kepada polis.

“Kes ini akan diserahkan kepada Bukit Aman untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain.

KETUA Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop

Selain itu katanya, kes itu turut disiasat mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan iaitu membuat dan mencetak serta menyebarkan berita palsu.

Semalam tular di laman sosial satu ciapan daripada akaun Zikri Armstrong mendakwa remaja warga Ireland yang dilaporkan hilang sebelum ditemui mati selepas 10 hari itu, dirogol oleh Orang Asli.

Kawasan resort tempat penginapan Nora Anne dan keluarganya di Pantai, dekat sini, adalah berhampiran beberapa kampung Orang Asli.

Nora Anne yang hilang pada 4 Ogos lalu, disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca daripada tidak makan untuk tempoh panjang selain akibat tekanan berpanjangan.

Selain itu hanya terdapat kesan calar kecil pada bahagian kaki mangsa.

Mangsa juga dipercayai mati dua sehingga tiga hari sebelum mayatnya ditemui serta mengesahkan tiada kesan dirogol atau elemen dilarikan serta diculik.

Berita Harian X