Jumaat, 16 Ogos 2019 | 7:42pm
KOMANDER Maritim, Rashidilhadi Abd Rashid (kiri) menunjukkan lokasi SAR seorang lelaki warga Singapura yang dilaporkan hilang ketika berkayak di Pejabat APMM Zon Maritim Kemaman hari ini.- foto BERNAMA

Nelayan jumpa mayat dipercayai peserta kayak Singapura yang hilang

CHUKAI: Mayat yang ditemui nelayan bot pukat tunda kira-kira lapan batu nautika dari Kuala Dungun, semalam dipercayai seorang lagi peserta kayak warga Singapura yang dilaporkan hilang pada 8 Ogos lalu.

Bagaimanapun, mayat yang ditemui kira-kira jam 6 petang dalam keadaan lengkap dengan jaket keselamatan itu dibiarkan hanyut.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid, berkata pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat itu pada jam 12 tengah malam semalam melalui kumpulan WhatsApp nelayan tempatan.

“Berdasarkan maklumat, mayat itu lengkap dengan jaket keselamatan dan kita tidak menolak kemungkinan ia mayat peserta kayak warga Singapura yang masih hilang.

“Penemuan mayat itu memberi petunjuk baharu kepada pasukan penyelamat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari kelapan hari ini,” katanya di Pejabat APMM Kemaman di sini, hari ini.

Rashilhadi berkata, mayat itu ditemui pada jarak 40 batu nautika dari mayat pertama yang ditemui di perairan Kuala Kemaman pada Rabu.

“Pencarian kini tertumpu di sekitar lokasi mayat itu dilihat meliputi keluasan keseluruhan 265 batu nautika persegi dari perairan Kuantan, Pahang hingga perairan Merchang di Marang.

“Berikutan penemuan mayat itu, Pangkalan Operasi Hadapan (FOB) SAR di Pejabat Zon Maritim Kemaman dibuka semalam. Operasi SAR diteruskan bermula jam 7 pagi tadi membabitkan enam bot daripada pelbagai agensi termasuk APMM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan kekuatan 47 pegawai dan anggota.

“Selain itu, kita turut meminta bantuan bot yang berulang alik ke pelantar minyak supaya membantu usaha pencarian itu,” katanya.

ANGGOTA APMM menanda sektor pencarian pada peta untuk operasi SAR seorang lelaki warga Singapura yang dilaporkan hilang ketika berkayak bersama rakan pada sidang media di Pejabat APMM Zon Maritim Kemaman hari ini. - foto BERNAMA

Mayat peserta kayak wanita, Puah Geok Tin, 57, ditemui pada 5.4 batu nautika dari Kuala Kemaman kelmarin hasil pengecaman yang dilakukan anaknya sebelum mayatnya dituntut pagi ini di Unit Forensik Hospital Kemaman untuk dibawa pulang ke Singapura.

Geok Tin yang juga warga Singapura dan Tan Eng Soon, 62, dilaporkan hilang kira-kira jam 5.40 petang pada 8 Ogos lalu selepas kayak dinaiki mereka terpisah dengan 13 kayak rakan mereka di Perairan Endau Mersing Johor.

LIANE Tan, 30, (kanan) dan Jeremy Tan, 23, anak kepada Tan Eng Soon, 62, yang dilapor hilang ketika berkayak bersama rakan, ketika APMM Zon Maritim Kemaman hari ini. Anggota APMM meluaskan sektor pencarian meliputi 265 batu nautika persegi, tertumpu di kawasan perairan Kuantan hingga Merchang, Marang. - foto BERNAMA

Sementara itu, anak Eng Soon, Jeremy Tan, 23, berharap nelayan tempatan dapat membantu menyalurkan maklumat kepada pasukan penyelamat supaya bapanya ditemui segera.

Jeremy dan kakaknya, Liane Tan, 30, serta wakil kedutaan Singapura tiba di jeti Zon Maritim Kemaman kira-kira jam 1 tengah hari tadi untuk mengetahui perkembangan terkini sepanjang usaha pencarian yang dilakukan pihak berkuasa negara ini.

Berita Harian X