Sabtu, 17 Ogos 2019 | 3:18pm
ANGGOTA Agensi Penguatkuasan Maritim Malaysia (APMM) sedang menjalankan operasi mencari dan menyelamat peserta kayak warga Singapura yang hilang sejak 8 Ogos lalu. - Foto ihsan APMM

Kawasan operasi mencari peserta kayak diperluaskan

CHUKAI: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mayat dipercayai peserta kayak warga Singapura yang hilang sejak 8 Ogos lalu diperluaskan meliputi kawasan 460 batu nautika persegi pada operasi yang memasuki hari kesembilan.

Pengarah Agensi Penguatkuasan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, pencarian meliputi kawasan dari perairan Kuala Kemaman hingga ke Pulau Kapas di Marang.

“Hari ini, SAR diteruskan meliputi kawasan dari Merchang hingga ke Pulau Kapas, Marang membabitkan empat bot iaitu dua milik APPM serta masing-masing satu daripada Pasukan Polis Marin (PPM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selain bantuan bot daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Kita turut mendapat bantuan enam bot daripada nelayan Dungun dan Marang dengan jumlah kekuatan keseluruhan seramai 58 pegawai dan anggota bagi SAR.

“Buat masa ini, kita tidak dapat apa-apa petunjuk baru yang boleh dikaitkan dengan mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sebelum ini, mayat yang ditemui nelayan bot pukat tunda kira-kira lapan batu nautika dari Kuala Dungun, semalam dipercayai seorang lagi peserta kayak warga Singapura yang dilaporkan hilang pada 8 Ogos lalu.

Bagaimanapun, mayat yang ditemui kira-kira jam 6 petang dalam keadaan lengkap dengan jaket keselamatan itu dibiarkan hanyut.

Mayat peserta kayak wanita, Puah Geok Tin, 57, ditemui pada 5.4 batu nautika dari Kuala Kemaman kelmarin hasil pengecaman yang dilakukan anaknya sebelum dituntut pagi semalam di Unit Forensik Hospital Kemaman untuk dibawa pulang ke Singapura.

Geok Tin yang juga warga Singapura dan Tan Eng Soon, 62, dilaporkan hilang kira-kira jam 5.40 petang pada 8 Ogos lalu selepas kayak dinaiki mereka terpisah dengan 13 buah kayak rakan mereka di Perairan Endau Mersing Johor.

Berita Harian X