Isnin, 19 Ogos 2019 | 11:45am
Keadaan rumah yang terbakar mengakibatkan tiga beranak termasuk bayi berusia lingkungan setahun maut dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Alah Batu, Jalan Kuala Slim. - Foto Rosman Shamsudin

Isteri mangsa minta tolong

SLIM RIVER: “Sampai sekarang masih terngiang-ngiang suara isteri mangsa menjerit meminta tolong ketika dalam kebakaran,” kata jiran mangsa, Robaayah Yunus, 58, yang tinggal bersebelahan rumah mangsa kebakaran tiga beranak maut di Kampung Alah Batu, Selangor, dekat Slim River, awal pagi tadi.

Robaayah berkata, ketika kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, dia baru bangun tidur disebabkan anak dan menantunya mahu pulang ke rumah mereka selepas bercuti di kampung.

Katanya, ketika bangun dia terdengar bunyi letupan agak kuat, lalu membuka tingkap rumah dan ternampak api sedang marak membakar bahagian tengah rumah mangsa.

“Makcik terus kejutkan suami dan anak yang sedang tidur untuk keluar rumah bantu mangsa dan anaknya yang berada dalam rumah itu.

“Ketika sampai di depan rumah terdengar suara isteri mangsa yang dikenali Idah menjerit minta tolong tetapi saya dan suami serta anak tidak mampu berbuat apa-apa kerana api ketika itu sedang marak.

“Api terlalu membahang menyebabkan saya bersama suami dan anak berlari ke rumah jiran berdekatan untuk meminta tolong,” katanya ketika ditemui di Kampung Alah Batu, dekat sini.

Rabaayah berkata, sampai sekarang dia masih terdengar suara isteri mangsa menjerit meminta pertolongan membuatkanya sedih kerana tidak dapat membantu tiga beranak itu.


Sharidan Abdul Aziz bersama isteri Siti Rafini Mohd. Rafiee dan anak Rafiq mangsa dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Alah Batu, Jalan Kuala Slim, Slim River. - Foto ihsan Pembaca

Katanya, semalam ialah kali terakhir beliau berjumpa dengan mereka iaitu ketika kenduri di rumah sepupu mangsa yang terletak kira-kira 30 meter daripada rumahnya.

“Semalam, saya bersalaman isteri mangsa mengucapkan terima kasih kepada saya kerana hadir di majlis kenduri itu.

“Saya tak sangka itulah ucapan terakhir mangsa dan tak sempat berbual panjang kerana dia sibuk hari itu menguruskan makanan kenduri sepupunya,” katanya.

Sementara itu, suaminya, Mohamad Arif, 60, berkata dia bersama anak cuba memadamkan api menggunakan paip getah yang terdapat di luar rumah itu, namun tidak berjaya kerana api terlalu kuat.

Katanya, dia memang mengenali suami mangsa yang dipanggil Idan kerana sering bertegur dan bergurau setiap kali hendak pergi kerja pada awal pagi.

“Saya bersama anak lelaki mengetuk pintu dan tingkap menyuruh mereka keluar dan ketika itulah kami mendengar jeritan isteri Idan mangsa meminta pertolongan.

“Saya memang berasa panik dan cemas ketika itu kerana tidak mampu berbuat apa-apa dan pertama kali dalam hidup menghadapi saat cemas begini.

“Namun, selang beberapa minit suara isterinya hilang menyebabkan kami terus berlari meminta pertolongan jiran di kampung itu untuk menghubungi pihak bomba,” katanya.

Katanya, jirannya itu sangat ramah dan suka menanam sayur-sayuran di kawasan rumah dan arwah juga selalu memberikan sayur yang ditanam kepada beliau dan jiran lain.

“Tiga beranak itu baru menyewa rumah berkenaan pada Januari lalu dan pemergian mereka amat dirasai kerana mereka jiran yang peramah dan baik dengan semua orang kampung,” katanya.

5517 dibaca
Berita Harian X