Isnin, 19 Ogos 2019 | 1:47pm
FOTO Hiasan.

Mangsa dibunuh sebelum dibaham buaya

MIRI: Misteri penemuan mayat dibaham buaya di Sungai Suai terbongkar dengan tertangkapnya enam lelaki dipercayai mempunyai kaitan membunuh mangsa, sebelum menghumban mayat ke sungai.

Semua suspek berusia 23 dan 46 tahun ditahan di tempat berasingan di sekitar Miri kerana disyaki membunuh, Geoge Tang Kee Luang, 60, sebelum mayatnya dicampak ke Sungai Niah.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah, berkata polis turut menjumpai komponen lori yang dileraikan dan termasuk pakaian mangsa berhampiran lori yang dijumpai di kediaman seorang suspek di Tukau, dekat sini.

“Turut dijumpai ialah sebilah parang dan besi yang dipercayai digunakan untuk membunuh suspek. Semua barang itu dirampas polis,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Lim berkata, ujian darah yang dihantar ke Jabatan Kimia di Kuching juga mengesahkan mayat yang dibaham buaya di Sungai Niah ialah milik mangsa yang dilaporkan hilang oleh keluarganya.

Beliau berkata, siasatan awal polis tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh dalam lorinya dan mayat dibungkus dengan plastik dan dihumban ke sungai itu, sebelum dijumpai dua kilometer dari tempat mayatnya dibuang.

Katanya, motif kejadian ada kaitan dengan kes penipuan jual beli barang di kedai mangsa yang dilakukan oleh suspek.

“Disebabkan takut kegiatan mereka terbongkar, suspek bertindak membunuh mangsa untuk mengelak perbuatannya didedahkan,” katanya.

Beliau berkata, selain lori milik mangsa yang sudah dileraikan, polis turut merampas sebuah kereta putih digunakan seorang daripada suspek.

Kes itu disiasat di bawah Sekysen Kanun Keseksaan 302 kerana membunuh.

6928 dibaca
Berita Harian X