Isnin, 19 Ogos 2019 | 4:40pm
HAMPIR dua hektar hutan di Jalan Helang, di Taman Scientex, Pasir Gudang terbakar akibat cuaca panas dan kering,  tengah hari semalam. - Foto Ihsan Pembaca

Hutan di Pasir Gudang terbakar

PASIR GUDANG: Hampir dua hektar hutan di Jalan Helang, Taman Scientex, di sini, terbakar berikutan cuaca panas dan kering, semalam.

Api dilaporkan merebak dengan pantas dan sukar dipadamkan berikutan keadaan tanahnya dipercayai kombinasi jenis gambut yang mudah terbakar.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Mohd Yousri Atan, berkata sebuah jentera dengan kekuatan enam anggota dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.

“Panggilan kecemasan pertama diterima pada jam 12.44 tengah hari daripada orang awam sebelum kebakaran berjaya dikawal hampir dua jam kemudian.

“Namun pada jam 4 petang, kami sekali lagi menerima panggilan kecemasan memaklumkan kebakaran di lokasi sama sebelum sebuah jentera dan enam anggota dikejarkan semula ke tempat kejadian.

“Kebakaran juga berulang semula di kawasan hutan berhampiran kira-kira jam 8 malam. Anggota kami terus membuat pemantauan di lokasi kejadian hingga jam 12.30 tengah malam bagi memastikan kebakaran tidak lagi berulang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Yousri berkata, faktor pokok dengan akar jauh ke dalam tanah dan jenis tanah lembut atau gambut di kawasan hutan terbabit menyebabkan kebakaran berulang serta mengambil masa untuk dipadamkan.

Bagaimanapun, beliau berkata, kebakaran itu berjaya dikawal sepenuhnya pada tengah malam tadi.

327 dibaca
Berita Harian X