Isnin, 19 Ogos 2019 | 6:29pm

Yew Yin beri keterangan kepada polis

IPOH: Ahli perniagaan, Koon Yew Yin, memberi keterangan selama kira-kira dua jam setengah di Balai Polis Jelapang di sini, berhubung kenyataan dalam laman blognya yang didakwa menghina Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Yew Yin, 87, tiba di balai polis berkenaan menaiki kereta jenis BMW 525i dipandu isterinya pada jam 2.55 petang, sebelum keluar pada jam 5.35 petang dan beredar menggunakan kenderaan sama.

Pengasas syarikat Gamuda Berhad dan pemilik IJM Corporation itu memberi keterangan berkenaan di hadapan seorang pegawai penyiasat berpangkat Inspektor dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman di balai polis itu.

Beliau memberi keterangan mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Peguam Yew Yin, Leong Cheok Keng, berkata polis memaklumkan bahawa anak guamnya tidak akan dipanggil lagi memberi keterangan berhubung kes itu.

“Polis nampaknya berpuas hati dengan kerjasama ditunjukkan Koon (Yew Yin) dan beliau memberi kerjasama baik sepanjang proses berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Yew Yin ketika ditemui enggan bercakap kepada pemberita dengan mengatakan polis menasihatinya supaya tidak memberi sebarang kenyataan berhubung kes itu.

“Polis kata saya tidak akan dipanggil lagi dan minta saya jangan cakap apa-apa (berkaitan kesnya),” katanya.

Dalam blognya sebelum ini, Yew Yin dilaporkan menulis mengenai anggota tentera di negara ini hanya ‘makan dan tidur’ serta hanya menembak di lapangan sasar, dan menyarankan mereka ditugaskan membantu sektor perladangan yang banyak mengambil warga asing ketika ini.

Kenyataan itu menimbulkan kemarahan pelbagai pihak khususnya persatuan bekas tentera yang menyifatkan Yew Yin tidak menghargai tugas sebenar anggota tentera.

Yew Yin kemudian memohon maaf atas kenyataan itu serta menarik tulisan berkenaan daripada blognya.

AHLI perniagaan, Koon Yew Yin (kanan) tiba di Balai Polis Jelapang, Ipoh bagi memberi kenyataan kepada pihak polis berhubung kenyataan dalam laman blognya yang menghina anggota tentera. - Foto Abdullah Yusof
Berita Harian X