Isnin, 19 Ogos 2019 | 8:20pm
BUNGKUSAN dadah jenis kokain dan ketamin bernilai lebih RM650 juta yang dirampas dalam serbuan di dua lokasi di Shah Alam, semalam.

Kastam, PDRM tumpaskan sindiket dadah terbesar negara

[email protected]

KUALA LUMPUR: Sejumlah 500 kilogram ketamin dan 3.23 tan kokain bernilai kira-kira RM650 juta dirampas dalam serbuan di dua premis premis perniagaan di Puncak Alam dan Seksyen U5, Shah Alam semalam yang disyaki dijadikan makmal memproses dadah berkenaan.

Serbuan dilakukan Cawangan Narkotik Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) dengan dibantu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, bertindak atas maklumat risikan dan intipan di premis berkenaan sejak awal bulan ini.

Dalam serbuan pertama di Puncak Alam kira-kira jam 4.30 pagi semalam, empat lelaki tempatan bersama sembilan warga asing ditahan, seterusnya membawa kepada penemuan 11 guni mengandungi serbuk putih disyaki dadah jenis ketamin seberat 500 kilogram.

Hasil soal siasat kemudian membawa kepada serbuan di lokasi kedua iaitu di sebuah rumah kedai di Seksyen U5, Shah Alam pada jam 9.20 malam.

Sumber memberitahu BH, penggeledahan di lokasi kedua membawa kepada penemuan dan rampasan 3,230 ketulan mampat mengandungi serbuk putih disyaki kokain yang keseluruhannya dianggarkan seberat 3.23 tan.

BUNGKUSAN dadah jenis kokain dan ketamin bernilai lebih RM650 juta yang dirampas dalam serbuan di dua lokasi di Shah Alam, semalam.

“Kesemua suspek dan barang kes kemudian dibawa ke pejabat Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM untuk tindakan lanjut dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador ketika dihubungi memaklumkan rampasan dadah berkenaan adalah yang terbesar pernah direkodkan di negara ini.

Kataya, kejayaan itu jelas memperlihatkan komitmen berterusan PDRM, khususnya JSJN dalam memerangi sindiket dadah di negara ini, melalui kerjasama dengan agensi berkaitan.

“Bukit Aman sentiasa bekerjasama rapat dengan agensi penguatluasaan dan pasukan keselamatan lain dalam usaha membanteras penyeludupan, pemprosesan, pengedaran dan penyalahgunaan dadah,” katanya.

Abdul Hamid berkata, kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah harus diperangi habis-habisan kerana implikasi negatifnya kepada rakyat dan negara.

“PDRM sendiri ketika ini sedang memberi tumpuan terhadap usaha membersihkan warga kerjanya yang yang terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

“Dalam tempoh tidak sampai sebulan Ops Blue Devil dilancarkan, hampir 100 pegawai dan anggota dikenakan tindakan selepas hasil ujian air kencing mereka didapati positif dadah,” katanya.

BUNGKUSAN dadah jenis kokain dan ketamin bernilai lebih RM650 juta yang dirampas dalam serbuan di dua lokasi di Shah Alam, semalam.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X