Selasa, 20 Ogos 2019 | 1:53pm
Muhammad Zikri (kiri) tiba di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur. - NSTP/Hafiz Sohaimi

Lelaki buat kenyataan Nora Anne dirogol mengaku tidak bersalah

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai pemasaran dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan membuat kenyataan membangkitkan kemarahan menerusi Twitter bahawa Nora Anne Quoirin dirogol Orang Asli, minggu lalu.

Muhammad Zikri Ibrahim, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Noorasyikin Sahat.

Tertuduh didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi Twitter menerusi profil akaun “Zikri Armstrong” dengan sengaja mengaibkan dan secara sedar membuat kenyataan boleh membangkitkan kemarahan masyarakat Orang Asli dan bermaksud akan memecahkan serta menggugat keamanan awam.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu Ibu Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, di sini, pada jam 8.30 malam, 14 Ogos lalu.

Nora Anne Quoirin

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Syazwan Mohd Salleh.

Terdahulu, Julia menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh namun Muhammad Syazwan memohon mahkamah memberikan jaminan rendah kepada anak guamnya atas alasan tertuduh bakal berkahwin Disember ini dan bapa tertuduh akan menjaminnya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 September depan untuk sebutan semula kes.

Media sebelum itu melaporkan, tular di media sosial satu ciapan di Twitter oleh lelaki menggunakan nama Zikri Armstrong mendakwa remaja warga Ireland dilaporkan hilang sebelum ditemui mati selepas 10 hari itu dirogol Orang Asli.

Lelaki itu mendakwa polis tidak dapat mengesan pelakunya kerana pembunuhnya tidak mempunyai kad pengenalan dan tiada data peribadinya.

Pada 16 Ogos lalu, polis menahan seorang lelaki yang memuat naik ciapan itu ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban.

Berita Harian X