Selasa, 20 Ogos 2019 | 6:02pm
LOKASI tiga sekeluarga bertindak terjun dari sebuah apartmen di Taman Kepong semalam.

Kanak-kanak lelaki maut, ibu dan kakak parah terjatuh dari pangsapuri

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak lelaki maut manakala ibu dan kakaknya cedera parah selepas dipercayai terjatuh ke tingkat bawah sebuah pangsapuri di Taman Kepong, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang, mangsa yang berusia enam tahun disahkan maut di lokasi kejadian sementara ibunya, berusia 34 tahun dan kakaknya berusia tujuh tahun mengalami kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah, berkata pihaknya masih belum dapat memastikan anak beranak itu terjatuh dari tingkat berapa.

“Kita terima maklumat mengatakan ada orang terjatuh di sebuah pangsapuri, sepasukan polis kemudian bergegas ke lokasi bersama pasukan forensik Kuala Lumpur.

“Siasatan di lokasi kejadian mendapati kejadian membabitkan tiga beranak, seorang wanita bersama dua orang anaknya.

“Anak lelaki maut di tempat kejadian manakala ibu dan seorang lagi anaknya dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana kecederaan parah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Shanmugamoorthy berkata siasatan awal mendapati kesemua mangsa tidak duduk di pangsapuri terbabit.

“Motif kejadian juga masih belum dipastikan dan siasatan yang dilakukan menjurus kepada pelbagai aspek.

“Kedua-dua mangsa kini dalam keadaan sedar dan masih menerima rawatan di HKL, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan (mencuba melakukan kesalahan membunuh diri),” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk Pangsapuri Laman Damai, Yew, 37, berkata beliau adalah antara yang melihat tiga individu termasuk dua kanak-kanak dalam keadaan terbaring.

"Ketika berada di kawasan lif, saya terkejut mendengar dentuman seperti letupan di bahagian peti surat pangsapuri sebelum mendapati ada tiga individu dalam keadaan terbaring.

"Ketika itu saya cuba memanggil seorang wanita dipercayai ibu kepada kanak-kanak itu namun tidak bersahut.

"Saya mendekati dan melihat dua daripada mereka masih sedar manakala seorang lagi dilihat sudah tidak bernyawa. Saya kemudian memanggil pengawal keselamatan di kawasan berhampiran untuk memberikan bantuan," katanya.

Menurutnya, beliau tidak mengenali individu berkenaan dan dipercayai bukan penduduk di kawasan itu.

Berita Harian X