Khamis, 22 Ogos 2019 | 11:19am
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadapi kes menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB). - Foto BERNAMA
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadapi kes menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB). - Foto BERNAMA

Bila tarikh sebenar bicara 1MDB?

KUALA LUMPUR: Tarikh perbicaraan kes menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion dihadapi Datuk Seri Najib Razak belum dapat dimuktamadkan.

Ini berikutan kes itu yang juga mendapat jolokan ‘perbicaraan Tanore’ hanya akan bermula selepas pihak pendakwaan dalam kes ‘SRC International’ selesai memanggil dan mendengar keterangan semua saksi.

Dalam prosiding kes 1MDB di Mahkamah Tinggi hari ini, semua pihak bersetuju untuk mendapatkan perkembangan terkini perbicaraan SRC yang kini mendengar keterangan saksi akhir pendakwaan petang esok, sebelum memutuskan tarikh perbicaraan 1MDB.

Sementara itu, Hakim Collin Sequerah membayangkan bahawa Mahkamah Tinggi akan mula mendengar perbicaraan kes berprofil tinggi itu pada Selasa depan.

Bagaimanapun katanya, ia tertakluk kepada status terkini perbicaraan kes SRC.

Sequerah pada Isnin lalu menetapkan Isnin depan bagi tarikh perbicaraan, bagaimanapun mahkamah hari ini dimaklumkan bahawa pada tarikh terbabit (Isnin depan), Mahkamah Persekutuan akan mendengar rayuan Najib untuk menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai pendakwaan dalam kes 1MDB.

Sri Ram yang memaklumkan mengenai prosiding di Mahkamah Persekutuan itu di awal prosiding, bagaimanapun berkata, pihaknya bersedia untuk memanggil saksi bagaimanapun katanya ia turut tertakluk kepada perkembangan kes SRC.

Katanya, pendakwaan difahamkan bahawa perbicaraan kes SRC akan berlangsung pada hari ini dan esok.

Sri Ram turut mencadangkan supaya perbicaraan kes itu bermula pada Selasa depan dan ia dipersetujui hakim, bagaimanapun tertakluk kepada perkembangan mutakhir esok.

Sementara itu , peguam Tan Sri Muhammad Shafee memberitahu mahkamah, pihaknya memohon untuk mahkamah mendengar perbicaraan itu pada 3 September bagi membolehkan pihaknya meneliti 15 ikatan dokumen membabitkan 732 muka dokumen yang baru diserahkan kepada pihaknya Isnin lalu.

Pada 20 September tahun lalu. Najib didakwa atas empat tuduhan menyalahgunakan kedudukan bagi mendapatkan rasuah dan 21 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion.

Berita Harian X