Khamis, 22 Ogos 2019 | 1:42pm

Tak mengaku salah cuba liwat kawan di pusat pemulihan

KUCHING: Seorang penghuni Pusat Penyembuhan, Rawatan dan Pemulihan (CCRC) di sini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuching semalam kerana cuba meliwat rakannya di pusat terbabit pada April lalu.

Tertuduh, Paran Imang, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nuruhuda Mohd Yusof.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap seorang penghuni CCRC berusia 31 tahun pada 7 malam, 2 April lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman mengikut Seksyen 20(1)(d) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 24 September depan sebagai tarikh pengurusan kes.

Paran juga dibenarkan ikat jamin RM1,500 dengan ibu bapa sebagai penjamin.

Bagaimanapun, dia diarahkan kembali ke CCRC kerana masih menjalani tempoh rawatan dan pemulihan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) manakala, tertuduh diwakili peguam Abdul Rahman Mohd Hazmi.

Berita Harian X