Khamis, 22 Ogos 2019 | 4:29pm

Dua pasangan kekasih jadi penyamun

KEPALA BATAS: Dua pasangan kekasih yang aktif menjalankan kegiatan samun, curi kenderaan dan pecah rumah di sekitar Pulau Pinang dan Kedah dicekup polis dalam serbuan di sebuah rumah pangsa di Taman Merbau Indah, Butterworth, Khamis lalu.

Bertindak hasil maklumat awam dan risikan, sepasukan polis menyerbu rumah berkenaan kira-kira jam 1 tengah hari dan menahan keempat-empat suspek berusia 20 hingga 29 tahun.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata polis menerima laporan terdapat beberapa kes pecah rumah dan curi kenderaan di sekitar daerah ini yang semakin membimbangkan.

“Oleh itu, sepasukan polis menjalankan intipan dan risikan sebelum mengesan keberadaan suspek terbabit.

“Polis akhirnya menahan suspek yang terdiri daripada dua pasangan kekasih, dan mereka mengaku melakukan beberapa kegiatan pecah rumah, samun serta curi kenderaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara, di sini, hari ini.

Noorzainy berkata, dalam serbuan itu, polis merampas dua kereta jenis Proton Satria dan Perodua Kelisa dengan nombor pendaftaran palsu, yang digunakan suspek untuk melakukan kegiatan jenayah.

“Polis juga merampas pelbagai barangan dipercayai hasil jenayah geng itu antaranya komputer riba, televisyen, peralatan elektrik, sejumlah anak kunci dan pelbagai kad bank yang kesemuanya bernilai lebih RM50,000,” katanya.

“Siasatan awal mendapati mereka terbabit dengan puluhan kes samun, curi kenderaan dan pecah rumah termasuk pecah taska di sekitar daerah ini, Seberang Perai Tengah serta Kulim dan Sungai Petani, Kedah sejak tahun lalu,” katanya.

Katanya, siasatan mendapati dalang utama yang melakukan kegiatan berkenaan adalah seorang lelaki berusia 29 tahun yang mempunyai 13 rekod lampau serta dikehendaki polis.

“Manakala dua lagi ahli kumpulan terbabit masing-masing mempunyai satu dan dua kes lampau.

“Ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap keempat-empat suspek mendapati mereka positif dadah dan kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan serta Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Noorzainy berkata, polis menahan dua lelaki berusia 23 dan 37 tahun kerana terbabit dalam kegiatan pecah kedai perkakasan di Bagan Ajam kira-kira jam 5.10 pagi pada Selasa lalu.

Katanya, polis menerima laporan memaklumkan terdapat dua lelaki sedang memecah masuk premis terbabit.

“Polis segera ke lokasi dan mengepung bangunan premis berkenaan sebelum berjaya menahan kedua-dua suspek.

“Sebelum itu seorang daripada suspek bertindak agresif apabila cuba melarikan diri tetapi usahanya gagal,” katanya.

638 dibaca
Berita Harian X