Khamis, 22 Ogos 2019 | 4:46pm
Gambar hiasan.

Kenapa kejam sangat dengan bayi sendiri

MIRI: Bayi berusia lapan bulan meninggal dunia dipercayai didera ibu dan bapanya di sini, Selasa lalu.

Mangsa disahkan meninggal dunia ketika dibawa oleh ibu bapanya mendapatkan rawatan di Hospital Miri kira-kira jam 7 pagi.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, ibu bapa mangsa membawanya ke hospital selepas dikatakan berada dalam keadaan lemah sejak jam 5 pagi.

“Sebaik tiba di hospital, doktor mengesahkan bayi terbabit sudah meninggal dunia. Pemeriksaan mendapati terdapat kesan cedera pada tubuh bayi itu dan disyaki akibat didera.

“Bedah siasat sedang dijalankan dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Pasangan suami isteri terbabit sudah direman semalam selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

Reman dikeluarkan oleh Majistret Md Syafique Md Hilmie semalam selepas permohonan dikemukakan pegawai penyiasat Asisten Superintendan Soliment Nyian.

704 dibaca
Berita Harian X