Khamis, 22 Ogos 2019 | 7:29pm
Bekas Pengarah SRC International,Datuk Suboh Md Yassin. NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Suboh mohon SPRM beri penginapan selamat

KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah SRC International Sdn Bhd, Datuk Suboh Md Yassin yang pernah melarikan diri ke Bangkok dan Abu Dhabi, memohon Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberikan penginapan selamat kepadanya.

Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKPj) Bahagian Operasi Khas (BOK) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rosli Husain memberitahu Mahkamah Tinggi, Suboh membuat permohonan itu kepada pihaknya sekembali dari Indonesia pada 27 Mei 2018.

Saksi pendakwaan ke-57 pendakwaan itu berkata, berikutan permohonan itu, SPRM membawa Suboh ke Hotel Pullman Putrajaya dan mengambil keterangan beliau di hotel sama keesokan hari iaitu pada 28 Mei 2018.

Menjawab soalan peguam bela Harvinderjit Singh pada sesi pemeriksaan balas, Rosli berkata, selepas mengambil keterangan di Pullman, SPRM membawa Suboh ke Ibu Pejabat SPRM pada 13 dan 15 Ogos 2018 untuk dirakamkan percakapan.

Saksi itu berkata, SPRM merekodkan kenyataan Suboh sebanyak enam kali iaitu kali pertama di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu pada 22 Mei 2015 yang turut dihadiri peguam S Mutiah.

Pada waktu itu, Rosli berkata, beliau ragu-ragu dengan hasil kenyataan diambil daripada Suboh dan kurang selesa dengan kehadiran peguam, lebih-lebih lagi beliau hanya seorang saksi yang tidak ditahan dan bukannya seorang tertuduh.

“Ketika di Abu Dhabi, kenyataan Jho Low pula diambil di bilik sebelah. Saya ambil keputusan kenyataan Suboh disambung dan diambil oleh pihak bebas tanpa campur tangan saya dan pihak lain, jadi saya arahkan beliau pulang dari Indonesia.

“Oleh itu saya meminta pertolongan Ahli Lembaga Pengarah SRC, Datuk Rashidi untuk menghubungi Suboh pulang ke sini. Dia bersetuju untuk balik.

“Untuk kenyataan di sini, saya arahkan pegawai saya mengambil kenyataan itu. Saya tidak ada campur tangan dan tidak pernah jumpa dia sejak balik sebab ini kes besar membabitkan ‘pemimpin negara nombor satu’.

1533 dibaca
Berita Harian X