Khamis, 22 Ogos 2019 | 9:45pm
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim menampal pelekat 'Volunteer Smartphone Patrol' yang bertujuan memudahkan peniaga untuk menghubungi pihak polis sekiranya berlaku jenayah di kedai emas SMS Deen ketika Program Kepolisan Profil Tinggi di sekitar kawasan perniagaan Masjid India hari ini. - Foto BERNAMA

Kadar jenayah di Masjid India menurun

KUALA LUMPUR: Kadar jenayah bagi kawasan Masjid India mencatatkan penurunan 19.28 peratus atau 459 kes pada tahun ini berbanding tahun lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata peratusan itu mewakili perbandingan kadar indeks jenayah bagi 1 Januari hingga 19 Ogos 2019 dengan tempoh yang sama pada tahun lalu.

“Pada 2018, 2,381 kes dilaporkan manakala bagi tempoh yang sama tahun ini, 1,922 kes dilaporkan.

“Ini menunjukkan kes jenayah di sini dapat dikurangkan dan mewujudkan persekitaran selamat, seterusnya memberi keyakinan kepada masyarakat untuk melakukan pelbagai kegiatan,” katanya kepada pemberita selepas hadir ke program Kepolisan Berprofil Tinggi (HPP) di Jalan Masjid India, di sini, hari ini.

Program itu bertujuan meningkatkan usaha pencegahan jenayah di samping mendidik masyarakat untuk memainkan peranan dalam usaha membanteras jenayah serta menjadi mata dan telinga polis.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata pihaknya sedia maklum kawasan Masjid India adalah ‘hub emas’ dan menjadi tumpuan orang ramai yang mahu membeli barang kemas.

“Kita tahu Masjid India digelar ‘hub emas’, oleh itu polis sentiasa memantau kawasan ini, malah kita juga meningkatkan tahap pemantauan terbabit.

“Sebelum ini, mungkin mereka tidak sedar kehadiran polis, sebab itu program HPP dibuat di sini untuk memaklumkan peniaga di sini polis sentiasa melakukan pemantauan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Perniagaan Masjid India (MIBA), Mohamed Sirajudeen Mohamed Salahudeen, berkata kawasan Masjid India termasuk Jalan TAR dan Lebuh Ampang dikenali sebagai hub emas kerana menempatkan 40 kedai emas yang menjadi tumpuan masyarakat tempatan dan pelancong asing.

“Jadi, bila diadakan program HPP ini, golongan peniaga di sini dapat melihat sendiri usaha pasukan polis dalam memastikan kawasan ini bebas daripada sebarang kegiatan jenayah.

“Tidak dinafikan, di kawasan ini sering berlaku jenayah seperti ragut dan samun, kita sambut baik komitmen ditunjukkan Ketua Polis Kuala Lumpur dalam memastikan usaha berterusan membendung sebarang kegiatan jenayah di kawasan Masjid India” katanya.

354 dibaca
Berita Harian X