Jumaat, 23 Ogos 2019 | 6:12pm

Kes 1MDB mula Rabu ini

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram membabitkan dana 2.3 bilion milik 1MDB dihadapi Datuk Seri Najib Razak bermula Rabu ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh itu ketika prosiding ditetapkan untuk pengurusan kes.

Perbicaraan kes 1MDB yang juga dikenali sebagai ‘perbicaraan Tanore’ bersambung sepanjang September serta Oktober hingga 14 November ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, ketika ditemui media, berkata pihak pendakwaan akan memanggil seramai enam saksi bagi memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan.

“Ia akan membabitkan saksi sama dalam perbicaraan SRC International Sdn Bhd yang turut dihadapi Najib yang sedang berjalan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali,” katanya.

Pada 13 Ogos lalu, Hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara menolak permohonan Najib untuk menangguhkan perbicaraan kes 1MDB.

Pada 7 Ogos lalu, Najib turut gagal dalam cubaan kali ketiganya untuk membatalkan kelayakan Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dalam perbicaraan kes 1MDB di Mahkamah Persekutuan.

Pada 20 September 2018, Najib didakwa dengan empat pertuduhan menurut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.

Beliau didakwa melakukan kesalahan berkenaan di AmIslamic Bank Bhd, No 55, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon antara 2011 dan 2014.

Berita Harian X