Jumaat, 23 Ogos 2019 | 8:11pm
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin menjawab soalam ketika di temubual sempena Hari Angkatan Tentera ke 86 di Wisma Pertahanan. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Iktiraf MPAJA satu pengkhianatan kepada negara

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyifatkan tindakan segelintir individu yang mengiktiraf ahli Malayan People Anti-Japanese Army (MPAJA) sebagai pejuang tanah air sebagai satu pengkhianatan kepada negara.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin, berkata tindakan mengiktiraf MPAJA yang kemudian dikenali sebagai Parti Komunis Malaya (PKM) adalah sesuatu perkara yang tidak pernah dipersetujui ATM.

Beliau tidak menolak kemungkinan perkara itu timbul kerana kurang kefahaman mengenai sejarah tanah air.

“MPAJA ini wujud ketika pendudukan Jepun sewaktu era perang dunia kedua dan selepas tentera Jepun menyerah kalah.

“Kemudian, tentera British pula mengisytihar perang terhadap gerakan itu yang kemudian dikenali sebagai komunis.

“Siapa yang faham sejarah akan tahu apa yang sebenarnya berlaku dan apa yang dilakukan oleh gerakan komunis itu.

“Untuk mengiktiraf MPAJA sebagai pejuang negara, sesekali tidak akan dipersetujui ATM,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi Wawancara Khas Panglima Angkatan Tentera sempena Hari Angkatan Tentera Malaysia Ke-86 di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.

Mengenai isu Jalur Gemilang yang digantung secara terbalik, Zulkifli berharap ia tidak dipolemikkan dan diambil kesempatan oleh sesetengah pihak.

“Jangan terlalu emosi dalam isu ini. Rakyat Malaysia sebaik-baiknya bertindak memperbetulkan perkara yang dilihat salah dengan kaedah sebaik mungkin,” katanya.

Semalam, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dilaporkan menasihatkan orang ramai untuk tidak menyebarkan gambar atau video dengan paparan Jalur Gemilang yang dinaikkan secara terbalik.

Menerusi kenyataan dimuat naik di portal SEBENARNYA.MY, SKMM memaklumkan pihaknya mendapati terdapat penyebaran dan penularan gambar atau video dengan paparan Jalur Gemilang yang dinaikkan secara terbalik.

7049 dibaca
Berita Harian X