Sabtu, 24 Ogos 2019 | 8:01pm
Gambar fail, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri, Superintendan Roslan Tahir (tengah) bersama pegawainya semasa sidang media rampasan dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK). - Foto Imran Makhzan

Op Blue Devil: 114 polis Terengganu negatif dadah

KUALA TERENGGANU: Seramai 114 pegawai dan anggota polis Terengganu yang disyaki terbabit dengan penyalahgunaan dadah, disahkan bebas daripada bahan terlarang itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Terengganu, Superintendan Roslan Tahir, berkata ujian saringan air kencing semua pegawai dan anggota polis terbabit disahkan negatif dadah.

Beliau berkata, ujian itu dibuat sempena Op Blue Devil yang dijalankan serentak di seluruh negara sejak 13 Ogos lalu.

“Keputusan menunjukkan mereka bebas daripada penyalahgunaan dadah. Bagaimanapun, kita akan meneruskan pemeriksaan sama bagi memastikan tiada pegawai dan anggota polis terbabit dengan bahan terlarang itu.

“Kita juga akan terus memantau setiap gerak geri pegawai dan anggota ini dan sekiranya ada yang mencurigakan, siasatan lanjut akan dijalankan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Op Blue Devil dilancarkan bertujuan mengesan dan membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah dalam kalangan anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador melahirkan kebimbangan mengenai aktiviti penyalahgunaan dadah di negara ini dan menjelaskan jumlah kes meningkat dua kali ganda selain turut membabitkan anggota polis.

Beliau berkata, Opd Blue Devil akan dilaksanakan secara berterusan dan arahan jelas diberikan kepada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) untuk tidak ‘berehat’ dalam operasi berkenaan.

286 dibaca
Berita Harian X