Sabtu, 24 Ogos 2019 | 9:39pm
Anggota penguatkuasa Majlis Perbandaran Taiping (MPT) berjaya menembak seekor babi hutan selepas menyerang seorang lelaki yang juga kakitangan Pejabat Pertanian Daerah Larut Matang Selama (LMS) sehingga cedera di bahagian paha kanan. - Foto ihsan Pembaca

Kakitangan pejabat pertanian cedera disondol babi hutan

TAIPING: Seorang kakitangan Pejabat Pertanian Daerah Larut Matang Selama (LMS) di sini, cedera selepas disondol seekor babi hutan yang dipercayai memasuki kawasan pejabat itu, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, babi hutan berkenaan dipercayai memasuki kawasan pejabat itu melalui lubang yang terdapat pada pagar sebelum menyondol mangsa di bahagian paha kanan.

Difahamkan, babi hutan berkenaan kemudiannya berjaya ditembak anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Taiping (MPT) yang tiba di lokasi kejadian selepas mendapat kebenaran Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak.

Pengarah PERHILITAN Perak, Yusoff Shariff, berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira jam 9 pagi sebelum sepasukan anggota dari Pejabat PERHILITAN Daerah Selama diarahkan ke lokasi kejadian.


Seorang lelaki yang juga kakitangan Pejabat Pertanian Daerah Larut Matang Selama (LMS) cedera dibahagian paha kanan selepas disondol seekor babi hutan yang dipercayai memasuki kawasan pejabat itu semalam. - Foto ihsan Pembaca

Katanya, ketika dalam perjalanan ke lokasi kejadian, pihak Pejabat Pertanian LMS menghubungi PERHILITAN untuk meminta kebenaran bagi membolehkan penguat kuasa MPT menembak haiwan berkenaan.

“PERHILITAN memberikan kebenaran untuk menembak babi hutan itu kerana ia membahayakan dan sebaik anggota tiba mendapati haiwan itu sudah mati ditembak manakala mangsa cedera di paha.

“Kakitangan PERHILITAN kemudiannya membuat pemeriksaan di sekitar lokasi kejadian dan mendapati terdapat lubang pada pagar sebelum menasihatkan pejabat berkenaan untuk menutup lubang berkenaan.

“Ia bagi mengelakkan haiwan lain masuk kerana lokasi pejabat itu berdekatan dengan hutan dan berisiko untuk haiwan masuk sekiranya tidak ditutup,” katanya ketika dihubungi.

Yusof berkata, difahamkan mangsa yang cedera kemudiannya dibawa ke hospital atau klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan.

Berita Harian X