Ahad, 25 Ogos 2019 | 4:01pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Ditumbuk, wang hampir setengah juta ringgit dilarikan

AMPANG JAYA: Tiga termasuk seorang wanita kerugian hampir setengah juta ringgit selepas diperdaya seorang wanita warga asing, kononnya mahu membuat pertukaran mata wang dengan nilai tinggi.

Mangsa yang berusia antara 48 hingga 58 tahun itu bukan saja kerugian wang, malah turut cedera ditumbuk tiga lelaki warga Afrika yang bersubahat dengan wanita terbabit.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 3.09 petang semalam daripada seorang lelaki memaklumkan disamun tiga lelaki dipercayai warga asing di tepi Jalan 9, Taman Ampang Jaya.

Katanya, sebelum kejadian mangsa memberitahu mengeluarkan sejumlah wang dan menukarkannya ke dolar Amerika (AS$) kerana mahu membuat pembayaran bagi urusan perniagaan sebelum ditawarkan untuk membuat tukaran wang AS$ kepada Ringgit Malaysia dengan harga RM6 bagi AS$1.

“Mangsa kemudian bertemu dengan seorang wanita (suspek) dan dibawa menaiki kenderaan jenis Nissan Teana dan suspek memberitahu mahu membawa mereka ke pejabatnya bagi urusan pertukaran wang terbabit.

“Bagaimanapun, suspek bertindak memberhentikan kereta sebaik tiba di Jalan 9, Taman Ampang Jaya, sebelum datang tiga lelaki menaiki sebuah kenderaan jenis Nissan Sentra ke arah mangsa.

“Seorang daripada suspek membuka pintu dan merampas beg sandang dibawa mereka yang mengandungi wang tunai AS$101,500 (RM425,386) dan dokumen penting,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian ditolak dan ditumbuk sebelum semua suspek melarikan diri menaiki Nissan Sentra dan meninggalkan Nissan Teana di lokasi.

Noor Azmi berkata, semakan terhadap Nissan Teana itu mendapati ia adalah kereta klon manakala Nissan Sentra menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Katanya, usaha mengesan keempat-empat suspek sedang dilakukan dan siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan tanpa senjata.

Berita Harian X