Ahad, 25 Ogos 2019 | 5:24pm

Lelaki ditemui meninggal dunia dalam kereta

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dipercayai berusia lingkungan 50-an ditemui meninggal dunia dalam sebuah kereta berhampiran Pusat Rukun Tetangga Jalan Sri Bintang 2, Kepong, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah, berkata pihaknya menerima maklumat daripada MERS 999 pada jam 11.38 pagi yang memaklumkan menemui seorang lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam sebuah kereta jenis Perodua Kancil.

Katanya, anggota yang ke lokasi kemudian menemui lelaki terbabit dalam keadaan berpakaian lengkap berbaju T dan berseluar jeans pendek, tidak sedarkan diri di tempat duduk pemandu.

“Individu yang menemui mangsa memaklumkan ternampak kereta berkenaan ketika memandu di kawasan terbabit dengan enjinnya masih hidup.

“Dia (pemaklum) menghampiri kereta itu dan mengetuk tingkap tetapi, mangsa tidak bertindak balas dan terus menghubungi talian kecemasan,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, bomba dan penyelamat yang turut dihantar ke lokasi membuat pemeriksaan tidak menemui sebarang unsur mencurigakan pada kenderaan terbabit.

Beliau berkata, pasukan paramedik dari Hospital Selayang yang tiba tidak lama kemudian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

“Berdasarkan siasatan awal tidak menemui unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kematian mangsa. Kes disiasat sebagai mati mengejut,” katanya.

Shanmugamoorthy berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat pada petang ini.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur memaklumkan, menerima panggilan pada jam 11.33 pagi sebelum menggerakkan sebuah jentera dari Balai Bomba Jinjang dengan kekuatan enam anggota ke lokasi kejadian.

Katanya, anggota berjaya membuka pintu kereta terbabit namun, mangsa didapati sudah meninggal dunia dan menyerahkan kes itu kepada polis untuk tindakan lanjut.

Berita Harian X