Selasa, 27 Ogos 2019 | 10:50am
MAQIS merampas 1,270 kilogram (kg) hasil pertanian dan makanan yang cuba dibawa masuk melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Durian Burung, Padang Terap, Jumaat lalu. - Foto ihsan MAQIS

MAQIS rampas 1,270 kg makanan dan hasil pertanian

PADANG TERAP: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Kedah merampas 1,270 kilogram (kg) hasil pertanian dan makanan yang cuba dibawa masuk melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Durian Burung di sini, Jumaat lalu.

Pengarahnya, Lily Rosalind, berkata pihaknya mengesan sebuah lori cuba membawa masuk barangan berkenaan tanpa dokumen sah MAQIS pada jam 1.30 petang.

Beliau berkata, pemeriksaan dalam lori menemui 200 kg bebola ayam, sosej dan daging babi (150 kg), ikan basah (100 kg), ayam dan itik sejuk beku (100 kg).

“Lori itu turut mengangkut 100 kg serai, 120 kg lengkuas, 70 kg cili padi dan 70 kg daun limau purut tanpa dokumen yang sah seperti import permit (IP) yang dikeluarkan oleh jabatan kami.

“Pengimport juga gagal mengemukakan dokumen seperti sijil fitosanitasi daripada negara asal dan sijil kesihatan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Rosalind berkata, rampasan hasil keluaran pertanian itu bertujuan mengawal

kemasukan penyakit dan perosak yang dibawa masuk dari negara luar kerana ia boleh melumpuhkan industri negara.

Katanya, rampasan produk berasaskan babi pula untuk mengawal kemasukan produk babi dari negara yang berpenyakit dan penyebaran wabak African Swine Fever (ASF).

“Kesemua rampasan terbabit akan dimusnahkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011, dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga enam tahun.

647 dibaca
Berita Harian X