Selasa, 27 Ogos 2019 | 12:37pm

Dua sindiket guna kondo bungkus dadah tumpas

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah yang aktif di daerah Sentul dalam tiga serbuan berasingan, minggu lalu.

Kedua-dua sindiket itu yang aktif sejak tiga hingga lima bulan lalu, menjadikan kondominium sebagai tempat membungkus dadah sebelum diedarkan di sekitar Sentul dan Lembah Klang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Heisham Harun, berkata dalam serbuan terhadap sindiket pertama pada Jumaat lalu, empat lelaki ditahan di sebuah kondominium di Jalan Kasipillay.

Katanya, dua daripada suspek dikesan memiliki rekod jenayah lampau berkait kes dadah.

“Serbuan dibuat pada jam 1 tengah hari menahan empat lelaki berusia 27 hingga 33 tahun dan merampas sepucuk pistol tiruan bersama sehelai ves dengan lambang Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta wang tunai RM538.

“Turut dirampas, 53 paket dadah disyaki heroin, 360 biji disyaki pil ekstasi, 220 biji disyaki pil yaba, enam paket berisi serbuk MDMA, 10 biji disyaki eramin 5 dan satu paket disyaki ganja.

“Keseluruhan barang rampasan dianggarkan bernilai RM150,918 manakala keempat-empat suspek direman lima hari hingga esok,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, hari ini.

Heisham berkata, tangkapan suspek sindiket kedua dibuat susulan dua serbuan yang dilakukan di hadapan sebuah pusat beli belah di Jalan Kepong dan di sebuah kondominium di Jalan Kuching.

“Pada 7.30 malam Sabtu lalu, menerusi operasi khas Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Sentul menahan lima lelaki di hadapan pusat beli belah dan merampas empat paket disyaki dadah jenis heroin dan 5,000 biji disyaki pil eramin 5.

“Suspek kemudian membawa pasukan ke sebuah kondominium dan kita menahan dua lagi ahli sindiket serta merampas dua blok disyaki heroin base, dua paket disyaki dadah heroin, 73 paket disyaki methamphetamine, 1,700 biji disyaki pil eramin 5 dan 161 biji pil disyaki ekstasi.

“Keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM372,330,” katanya.

Beliau berkata, semua tujuh suspek berusia 21 hingga 33 tahun itu direman selama lima hari hingga Khamis ini.

“Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

TIMBALAN Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Heisham Harun (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, hari ini. - Foto Zunnur Al Shafiq
TIMBALAN Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Heisham Harun (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, hari ini. - Foto Zunnur Al Shafiq
Berita Harian X