X
Khamis, 29 Ogos 2019 | 5:50pm

Peniaga ditahan hina KPN di media sosial

[email protected]

SUNGAI SIPUT: Seorang peniaga ditahan pada Sabtu lalu selepas dipercayai menulis komen di laman Facebook menggunakan kata-kata kesat terhadap Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berhubung kenyataan mengenai isu bendera Jalur Gemilang dipasang terbalik.

Peniaga berusia 32 tahun itu ditahan kira-kira 9 malam di sebuah restoran di Kuala Terengganu oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu susulan laporan polis dibuat di Sungai Siput, di sini pada 22 Ogos lalu.

Laporan polis dibuat terhadap peniaga itu susulan komennya yang merujuk kepada kenyataan Abdul Hamid dalam satu portal berita yang disiarkan pada 21 Ogos lalu.

Lelaki terbabit dipercayai menulis komen menggunakan perkataan kesat kerana tidak berpuas hati terhadap kenyataan Abdul Hamid bahawa insiden Jalur Gemilang dipasang terbalik di sebuah sekolah adalah tidak disengajakan.

Malah, polis turut merampas telefon bimbit milik peniaga terbabit yang dipercayai digunakannya untuk menulis komen berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Tangkapan dibuat oleh JSJ Terengganu, Sabtu lalu dan suspek kemudian direman selama empat hari untuk membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya direkodkan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Mohd Khaizam menasihatkan orang ramai terutama pengguna media sosial agar tidak mengeluarkan atau membuat komen menggunakan kata-kata yang tidak wajar serta menularkan sebarang isu yang boleh menggugat keamanan negara.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X