Sabtu, 31 Ogos 2019 | 4:14pm
Keadaan badan mangsa selepas disengat lebih 200 ekor tebuan. - NSTP/Ramli Ibrahim
Keadaan badan mangsa selepas disengat lebih 200 ekor tebuan. - NSTP/Ramli Ibrahim

Warga emas maut disengat lebih 200 tebuan

GUA MUSANG: Seorang warga emas meninggal dunia di Hospital Kuala Krai (HKK), semalam selepas bertarung nyawa selama empat hari akibat disengat lebih 200 ekor tebuan.

Mohd Ghazali Awang, 67, disengat ketika membersih kebunnya menggunakan jengkaut di Kampung Kuala Betis, di sini kira-kira jam 9 pagi, Selasa lalu.

Anaknya, Mohd Firdaus Mohd Ghazali, 31, berkata bapanya sudah dalam keadaan kritikal ketika menerima rawatan awal di Hospital Gua Musang (HGM) selama tiga hari.

Bapanya kemudian dirujuk ke HKK, Khamis lalu namun meninggal dunia pada jam 12.45 tengah hari semalam.

“Sebelum kejadian, abah ke kebun bersama dua lagi adik dan abang menggunakan kenderaan berasingan untuk membersih kebun yang ditanam pelbagai tanaman.

“Hanya abah yang memandu jengkaut turun ke bawah bukit untuk membersihkan semak, namun dengan tiba-tiba sarang tebuan sebesar tayar kereta terjatuh.

“Berikutan itu, abah disengat lebih 200 tebuan sebelum terjun dari jengkaut dan merangkak naik bukit untuk ke kenderaan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di perumahan Jabatan Perumahan Negara (JPN) kawasan industri, di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohd Firdaus menerima kunjungan Yang Dipertua Majlis Belia Jajahan (MBJ) Mohd Asmawi Fiktry Abd Ghani untuk menziarah keluarga arwah.

Mengulas lanjut, Mohd Firdaus berkata, dalam keadaan menahan sakit selepas disengat tebuan itu, arwah sempat menghubungi abangnya, Mohd Ikhwan, 33, yang berada tidak jauh dari situ supaya membawanya ke HGM.

Katanya, ketika menerima rawatan di hospital, kepala bapanya mempunyai 24 sengatan tebuan, manakala di tubuh pula terdapat lebih 200 sengat.

“Jenazah abah disembahyangkan di Masjid Tengku Muhammad Faiz Petra Bandar Baru Gua Musang sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam KESEDAR Petra pada jam 8 malam tadi,” katanya.

Berita Harian X