Sabtu, 31 Ogos 2019 | 6:17pm

Bunuh rakan senegara, lelaki Myanmar diburu

SHAH ALAM: Seorang lelaki warga Myanmar diburu polis selepas dipercayai membunuh rakan serumahnya di kawasan rumah kedai di Seksyen 15, di sini, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, berkata dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, suspek yang berusia 36 tahun dipercayai bertindak menikam rakan senegaranya berusia 27 tahun, selepas berlaku pergaduhan kecil.

“Suspek dan mangsa yang tinggal serumah juga adalah rakan sekerja di kilang berhampiran. Pada malam kejadian, mereka berdua dipercayai berada dalam pengaruh alkohol sebelum berlaku pergaduhan.

“Isi perut mangsa terburai kesan tikaman suspek dan kejadian itu turut disaksikan penduduk sekitar,” katanya, di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebaik pihaknya tiba di lokasi kejadian, suspek sudah melarikan diri meninggalkan rakannya yang berlumuran darah akibat ditikam.

“Berdasarkan siasatan awal, suspek mengeluarkan pisau sebelum mengejar mangsa di kawasan rumah kedai yang disewa pihak kilang untuk pekerjanya.

“Motif kejadian masih dalam siasatan memandangkan ia berlaku dalam keadaan mangsa dan suspek sedang mabuk.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Sehubungan itu, Baharudin berkata, pihaknya sedang mencari lelaki warga Myanmar bernama Zawthin untuk membantu siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan boleh menghubungi balai polis berhampiran.

Berita Harian X