Sabtu, 31 Ogos 2019 | 9:22pm

Dua individu ditahan kes gantung bendera terbalik

LANGKAWI: Polis menahan dua individu termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan kes sebuah premis perniagaan di pekan Kuah, di sini yang didakwa memasang Jalur Gemilang dan bendera Kedah secara terbalik.

Gambar bendera terbalik yang tular dalam media sosial mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat setempat.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata kedua-dua suspek ditahan pada jam 5 petang tadi.

“Suspek lelaki dan wanita masing-masing berusia 60 dan 50 tahun itu ditahan selepas polis menerima laporan daripada seorang pengadu lelaki berusia 34 tahun.

“Pengadu membuat laporan polis selepas ternampak bendera Malaysia dan Kedah dipasang secara terbalik di sebuah premis perniagaan dua tingkat di pekan Kuah,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, siasatan polis mendapati kedua-dua bendera itu dipasang terbalik sebelah-menyebelah di tingkat dua di premis kedai serbaneka milik suspek lelaki.

“Polis sudah merekod kenyataan kedua-dua suspek dan mereka juga membuat laporan polis mendakwa tersilap memasang kedua-dua bendera itu secara terbalik.

“Suspek turut menyatakan kekesalan atas kejadian itu dan membetulkan kedudukan kedua-dua bendera berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil dan Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama.

Berita Harian X